Gaji RM5,000 ke atas tidak realistik - MEF

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin berkaitan gaji minimum. (Gambar kecil: Syed Hussain)

SHAH ALAM - Cadangan bahawa kadar gaji bermaruah bagi individu bujang dan keluarga dua anak sepatutnya berada pada paras RM5,000 ke atas dilihat tidak realistik dengan konteks ekonomi semasa.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ia kerana kebanyakan majikan terutamanya sektor mikro, kecil dan sederhana (PKMS) masih bergelut untuk menstabilkan kewangan syarikat selepas pandemik Covid-19 melanda.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kadar kenaikan kos operasi, gangguan rantaian bekalan global dan perubahan permintaan pengguna mengekang keupayaan majikan untuk menawarkan kenaikan gaji tanpa memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan.

"Secara umumnya, sebarang cadangan menetapkan gaji bermaruah RM5,000 ke atas tidak mengambil kira realiti semasa majikan dan landskap ekonomi global terutamanya selepas pelaksanaan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) terhadap pengeksport termasuk Malaysia.

Iklan

"Jika kos buruh turut meningkat mendadak, ia boleh menyebabkan pengeksport Malaysia kehilangan pasaran antarabangsa dan pelabur mencari negara yang menawarkan kos buruh lebih kompetitif," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, kadar gaji ideal dan bermaruah bagi kategori bujang mahupun keluarga yang mempunyai dua anak sepatutnya berada dalam lingkungan RM5,000 ke atas, bergantung kepada lokasi sama ada menetap di bandar atau luar bandar.

Iklan

Katanya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) bulanan bagi satu isi rumah dicatatkan sebanyak RM4,729 bagi tahun 2023.

Malah, jelasnya lagi, PAKW di kawasan bandar lebih tinggi berbanding luar bandar dengan nilai masing-masing RM5,040 dan RM3,631.

Justeru, Syed Hussain berpendapat, perbincangan berhubung isu gaji perlu dibuat secara menyeluruh melibatkan kerajaan, majikan dan pekerja berlandaskan data produktiviti serta pertumbuhan ekonomi sebenar.

Beliau turut menyarankan supaya pelaksanaan kenaikan gaji perlu dibuat secara berperingkat, sejajar peningkatan produktiviti serta keupayaan kewangan majikan.