Seniwati legenda Sophia Ibrahim meninggal dunia

Iklan
Sophia Ibrahim.

KUALA LUMPUR - Seniwati Sophia Ibrahim meninggal dunia pada usia 77 tahun di sebuah hospital swasta pada 7.15 malam, Isnin akibat asma.

Berita pemergian Sophia disahkan sendiri oleh anaknya, Hairie Kool atau nama sebenarnya Mohd Khairi Yaacob ketika dihubungi Bernama.

Iklan
Iklan

"Ya, ibu saya telah menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di Ampang. Petang tadi ibu batuk teruk dan sukar bernafas, saya terus membawanya ke sini (pusat perubatan swasta). Ibu memang menghidap asma," katanya.

Beliau berkata jenazah ibunya dijangka disolatkan di Surau Al Hijrah, Taman Bolton, Batu Caves sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda di sini pada kira-kira 11 pagi esok.

Iklan

Sophia mula aktif dalam dunia lakonan seawal usia 15 tahun menerusi filem"Ragam P. Ramlee" (1964) sebelum menyerlah dengan filem seperti"Dr Rushdi","Cinta 200 Ela","Pontianak Harum Sundal Malam" dan"Puteri Impian".

Allahyarham merupakan anak sulung daripada 10 beradik termasuk Datuk Khadijah Ibrahim dan Allahyarham Latif Ibrahim.

Iklan

Pada Ogos tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada seniwati legenda itu bagi meringankan kos perubatan selepas beliau mengalami katarak. - Bernama