'Warga emas terbeban kenaikan premium insurans cecah 50 peratus'

Iklan
Tze Tzin.

SHAH ALAM – Bank Negara Malaysia (BNM) digesa segera melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap mekanisme penetapan harga premium insurans kesihatan susulan peningkatan mendadak caj sehingga mencecah 50 peratus mengikut julat umur.

Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, walaupun BNM memperkenalkan langkah interim mengehadkan kenaikan premium insurans pada Disember tahun lalu, isu kenaikan mengikut ‘julat umur’ masih belum ditangani secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

"Kami telah menerima aduan daripada ramai warga emas yang berdepan kenaikan antara 45 hingga 50 peratus apabila kenaikan julat umur dan penetapan semula harga ubat-ubatan berlaku serentak dalam tahun sama.

"Ini mengakibatkan beban kewangan yang amat berat. Oleh itu, isu julat umur mesti dikaji semula. Malah laporan The Edge Weekly pada 4 Mei 2025 turut membongkar amalan perniagaan yang meragukan dalam industri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambah Tze Tzin, sistem sedia ada bukan sahaja tidak adil, malah turut memangsakan golongan pesara yang telah lama mencarum.

Mengulas lanjut, Tze Tzin berkata, antara aduan yang diterima melibatkan seorang individu berusia 61 tahun yang menerima notis kenaikan premium sebanyak RM3,929, merangkumi RM3,023 akibat peralihan ke umur baharu dan RM906 daripada ‘medical repricing’.

Iklan

Seorang lagi pemegang polisi berusia 65 tahun pula mengalami kenaikan sebanyak 45 peratus apabila bayaran premium melonjak daripada RM9,019.50 kepada RM13,119 bagi tahun 2026 hanya kerana perubahan ‘julat umur’.

"Ini tidak munasabah kerana pelanggan hanya meningkat usia sehari selepas ulang tahun, namun dikenakan kenaikan mendadak seolah-olah risiko meningkat secara drastik.

"Tindakan itu juga jelas tidak adil dan tidak berperikemanusiaan kerana menekan golongan warga emas yang sepatutnya dilindungi selepas bersara,” katanya lagi.

Justeru, beliau mendesak BNM agar memperluaskan reformasi dalam industri insurans dan takaful kesihatan supaya struktur harga lebih telus, munasabah dan berpaksikan prinsip perlindungan rakyat.