SANDAKAN – Hasrat menjadikan Sandakan sebagai bandar raya kedua di Sabah mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keseimbangan pembangunan antara wilayah pesisir barat dan timur negeri ini, kata Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir.
Beliau menyambut baik pengumuman Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah bersama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) berhubung inisiatif itu, yang disifatkannya sebagai langkah strategik dan berpandangan jauh.
"Ini bukan sahaja selaras dengan kerangka pembangunan negeri secara holistik, tetapi juga menunjukkan iltizam kerajaan dalam memastikan pembangunan yang seimbang di Sabah.
"Sebagai Ahli Parlimen kawasan yang berkait rapat dengan Sandakan, saya melihat inisiatif ini membawa makna besar kepada rakyat dari sudut ekonomi, sosial dan kesejahteraan hidup,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Suhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, beliau pernah membangkitkan perkara itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan menekankan kepentingan menaik taraf status pentadbiran Sandakan.
Menurutnya, peralihan status bandar raya dijangka membuka lebih banyak ruang kepada pelaburan domestik dan asing, mempercepatkan penciptaan peluang pekerjaan serta meningkatkan mutu infrastruktur dan perkhidmatan awam.
"Lebih penting lagi, ia memberi limpahan manfaat langsung kepada rakyat – daripada peniaga kecil hingga ke golongan belia dan profesional.
"Kita harus melihat usaha ini bukan semata-mata dari sudut fizikal atau pentadbiran, tetapi sebagai platform untuk memperkasa potensi rakyat Sandakan secara menyeluruh,” katanya.
Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah menegaskan bahawa transformasi ke arah bandar raya perlu berpaksikan prinsip ‘Rakyat Didahulukan’ dengan menilai pembangunan melalui kualiti hidup, mobiliti sosial, pendidikan dan keadilan ekonomi.
Beliau turut menggesa semua pihak termasuk sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan komuniti setempat untuk memainkan peranan aktif menjayakan agenda tersebut.
"Sandakan mempunyai warisan sejarah, kepelbagaian budaya serta sumber alam yang unik untuk dibangunkan secara inklusif dan mampan.
"Kita memerlukan pemikiran strategik dan tindakan berasaskan data serta analisis menyeluruh. Sandakan sebagai bandar raya bukan sekadar matlamat politik atau simbol status; ia adalah manifestasi visi jangka panjang untuk mengangkat taraf hidup rakyat dan menjadikan Sabah negeri yang benar-benar maju dan seimbang,” katanya.