Lelaki tak mengaku tendang, pukul isteri guna getah paip

Iklan
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan menendang dan memukul wanita itu menggunakan getah paip, bulan lepas.

Daniel Kenneth Abdullah, 35, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berumur 24 tahun dengan menendang kaki kiri serta memukul menggunakan getah paip pada bahagian badan mangsa.

Iklan
Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediamannya di sebuah pangsapuri di Bandar Sri Permaisuri di sini pada 9 malam, 30 April lepas, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu manakala Seksyen 326A pula berdepan dengan hukuman penjara selama tempoh dua kali ganda tempoh maksimum atau dengan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan mangsa dikhuatiri berada dalam ketakutan kerana masih tinggal serumah dengan tertuduh.

Daniel yang tidak diwakili peguam merayu jaminan diberikan kerana dia menyesal atas perbuatannya itu dan berjanji akan menjaga dua anaknya, masing-masing berumur empat bulan dan setahun serta isterinya yang kini sedang hamil.

Iklan

Hakim Zulqarnain Hassan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan kes pada 9 Jun untuk serahan dokumen. - Bernama