LIPIS – Pengorbanan seorang anak meninggalkan kehidupan di bandar untuk pulang ke kampung menjaga ibunya selepas kematian bapa tercinta ternyata tidak sia-sia apabila kini bergelar pengusaha ikan sangkar yang berjaya.
Norieman Salleh, 39, dari Kampung Ganding, Mela di Kuala Lipis, mengambil keputusan meninggalkan pekerjaan tetap di sebuah kilang di Shah Alam enam tahun lalu, selepas bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung.
"Ketika itu saya fikir, ibu sudah tiada siapa-siapa. Adik-beradik lain sudah berkeluarga dan tinggal jauh. Jadi saya balik kampung untuk jaga ibu dan fikir mahu cuba sesuatu yang boleh menjana pendapatan di sini.
"Saya mulakan dengan dua sangkar ikan di Sungai Jelai dan kini telah berkembang kepada 10 sangkar,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, dia memilih untuk menternak ikan patin dan tilapia kerana permintaannya tinggi, khususnya dari restoran-restoran sekitar Pahang, selain tempoh matang yang lebih singkat.
Walaupun berdepan cabaran seperti perubahan cuaca, kos makanan ikan yang tinggi dan serangan penyakit, Norieman tetap cekal meneruskan usaha.
"Duduk kampung tidak semestinya tidak boleh berjaya. Yang penting usaha, sabar dan sentiasa belajar benda baharu.
"Malah saya rasa lebih selesa di kampung, cukup makan, tidak stres berbanding di bandar kerana kadang-kadang hujung bulan duit pun habis,” katanya.
Kini, usahanya semakin membuahkan hasil apabila beliau menerima tambahan tiga sangkar ikan bernilai RM20,000 menerusi bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk anak pekebun kecil.
Menurutnya, bantuan itu amat dihargai kerana dapat meningkatkan kapasiti ternakan dan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
"Setakat ini, saya mampu menghasilkan 300 hingga 400 kilogram ikan sebulan. Dengan bantuan RISDA, saya yakin hasil pengeluaran akan bertambah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Norieman turut berharap agar RISDA terus membantu anak pekebun kecil yang menetap di kampung agar mereka tidak perlu berhijrah ke bandar, sebaliknya dapat menjana ekonomi dan membina kehidupan di kampung halaman.