KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Tiada dasar utama negara termasuk hak Bumiputera, keperluan vendor tempatan serta perlindungan sektor strategik akan dikompromi dalam sebarang rundingan berkaitan tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, kajian terhadap halangan bukan tarif (NTB) hanya melibatkan peraturan yang tidak lagi relevan dan sebarang perubahan akan dilaksanakan secara telus serta inklusif.
"Kerajaan akan terus menumpukan usaha mempercepat pelaksanaan agenda pembaharuan Ekonomi Madani seperti yang termaktub dalam dasar Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan agenda pendigitalan negara.
"Usaha ini penting sebagai serampang dua mata – menjana pelaburan jangka pendek dan memperkukuh daya saing jangka panjang negara dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global,” katanya dalam sesi penerangan berhubung isu pelaksanaan tarif timbal balas AS semasa Sidang Khas Dewan Rakyat pada Isnin.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif timbal balas sebanyak 24 peratus terhadap Malaysia dan beberapa negara lain, mengikut kadar masing-masing.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, kerajaan yakin bahawa tindak balas dasar berasaskan data dan pendekatan yang terancang mampu menangani ketidaktentuan semasa secara berkesan.
Beliau berkata, mekanisme pemantauan telah diaktifkan dan tindakan bersasar akan dilaksanakan mengikut keperluan bagi membantu rakyat serta perniagaan yang terjejas.
"Kita tidak dapat mengelak daripada tempias pergolakan geopolitik akibat perang perdagangan antara ekonomi-ekonomi besar dunia.
"Namun, di sebalik cabaran ini, terdapat ruang untuk kita mengukuhkan jalinan kerjasama ekonomi di peringkat ASEAN dan dengan rakan dagangan utama lain,” ujarnya.