Kerajaan jelaskan langkah hadapi tarif timbal balas AS di Parlimen hari ini

Iklan
Anwar Ibrahim hari ini akan memberi penerangan terperinci mengenai langkah serta perancangan kerajaan dalam mendepani tindakan AS mengenakan tarif balas terhadap semua import ke negara itu di Parlimen.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini akan memberi penerangan terperinci mengenai langkah serta perancangan kerajaan dalam mendepani tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif balas terhadap semua import ke negara itu.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual menyampaikan penerangan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula jam 11 pagi.

Iklan
Iklan

Penerangan itu dijangka menyentuh implikasi langsung tindakan AS terhadap ekonomi negara, termasuk sektor perdagangan dan pelaburan serta pendekatan proaktif kerajaan dalam menyelaras respons merentas kementerian dan industri.

Ia turut merangkumi penilaian semula terhadap dasar semasa bagi industri tertentu serta perancangan jangka panjang bagi memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia dalam menghadapi cabaran ketegangan perdagangan global.

Iklan

Mesyuarat Khas hari ini diadakan atas permintaan Perdana Menteri, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), bagi membolehkan isu-isu semasa yang mendesak dan memberi kesan langsung kepada rakyat dibahaskan secara menyeluruh.

Taklimat peringkat menteri yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) dijangka turut merangkumi strategi jangka pendek dan sederhana kerajaan dalam menghadapi tindakan tarif tersebut.

Iklan

Selepas sesi penerangan, Ahli Parlimen akan diberi ruang untuk mengemukakan soalan, cadangan dan pandangan, sebelum sesi diakhiri dengan penjelasan daripada menteri-menteri berkaitan.

Pada 9 April lalu, pentadbiran AS mengumumkan penangguhan selama 90 hari terhadap tarif balas individu yang dikenakan ke atas kebanyakan negara, namun mengekalkan tarif asas sebanyak 10 peratus.

Keputusan itu diambil susulan bantahan dan kebimbangan disuarakan oleh lebih 75 negara, termasuk Malaysia terhadap pelaksanaan tarif yang dianggap mengejut dan bersifat unilateral. - Bernama