KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta kepada Zoo Negara bagi tujuan pengurusan dan penyelenggaraan kawasan pusat konservasi itu bagi tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zoo Negara turut menerima peruntukan sebanyak RM5 juta pada tahun lalu bagi penambahbaikan kemudahan susulan prestasi memberangsangkan sebagai kawasan tarikan pelancongan.
“Saya umumkan RM5 juta tahun lalu kerana prestasi Zoo Negara yang membanggakan sebagai tarikan pelancong dan lawatan pelajar sekolah bagi memberikan pendedahan agar lebih mesra alam.
“Tahun ini, saya luluskan RM5 juta lagi untuk pengurusan dan penyelenggaraan kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara, di sini, pada Sabtu.
PKGP Zoo Negara kini menempatkan sepasang panda gergasi baharu, Chen Xing dan Xiao Yue, yang tiba dari China pada 18 November tahun lalu.
Kedua-dua panda tersebut telah menjalani tempoh kuarantin dan menunjukkan tahap penyesuaian yang baik dengan tingkah laku normal serta aktif.
Perjanjian kerjasama konservasi antara Malaysia dan China dimeterai sempena lawatan negara Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia pada 16 April 2025.
Perjanjian yang dimeterai antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dan China Wildlife Conservation Association (CWCA) itu membolehkan Malaysia menerima pasangan panda gergasi baharu bagi tempoh 10 tahun, bermula 2025 hingga 2035.
Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada kerajaan China atas sumbangan bermakna tersebut yang disifatkan sebagai satu tarikan besar kepada pelancong dalam dan luar negara.
Mengulas mengenai kawasan tanah di Zoo Negara yang tidak digunakan sejak 1963, Anwar berkata, tiada keperluan mendesak untuk membangunkan kawasan berkenaan kerana ruang sedia ada mencukupi untuk tujuan penyelenggaraan.
“Perkara ini telah dibincangkan dengan pihak berkaitan dan akan diputuskan sama ada penggunaan tambahan tanah diperlukan atau tidak.
“Mempunyai tanah mencukupi adalah satu kelebihan. Tidak semua inci tanah perlu dimajukan kerana kawasan hijau di sekitar zoo perlu dipelihara.
“Kerajaan komited untuk memastikan tiada pembangunan dilakukan di kawasan hijau, khususnya di dalam dan sekitar zoo bagi melindungi persekitaran,” katanya.