KUALA LUMPUR - Seorang lelaki mengalami sesak nafas dalam kebakaran membabitkan enam buah rumah teres di Bandar Tun Razak, di sini, pada Ahad.
Mangsa yang berusia 45 tahun tersebut telah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mustafa Kamal Mohd Arih berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 10.49 malam.
"Seramai 43 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak serta bantuan BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sungai Besi, BBP Cheras, BBP Sri Hartamas dan BBP Taman Tun Dr Ismail dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mustafa Kamal berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada jam 10.54 malam, didapati kebakaran melibatkan enam buah rumah.
"Anggaran kebakaran adalah sebanyak 50 hingga 70 peratus. Seorang lelaki mengalami sesak nafas telah dihantar ke hospital oleh Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) BBP Sungai Besi.
"Mangsa ditempatkan di zon kuning dan berada dalam keadaan stabil. Kebakaran padam sepenuhnya pada jam 12.06 tengah malam. Punca kebakaran masih dalam siasatan Unit Forensik," ujarnya.