KULIM - Kira-kira 150 penduduk Kampung Haji Ismail Siak, Simpang Tiga Keladi di sini bergotong-royong memindahkan sebuah rumah bagi memberi laluan kepada pembinaan surau di tapak berkenaan pada Ahad.
Pemilik rumah berkenaan, Jamaluddin Ismail, 63, berkata, rumah kayu itu dipindahkan ke lokasi bersebelahan dengan jarak anggaran 10 meter dari tapak asal.
Iklan
Iklan
"Lokasi rumah ini termasuk dalam tapak surau, jadi kami mengambil keputusan untuk mengusung rumah ke tapak bersebelahan iaitu kira-kira 10 meter dari lokasi asal,” katanya.
Menurut Jamaluddin, proses pemindahan dimulakan pada jam 9.30 pagi dan mengambil masa lebih kurang 30 minit.
Katanya, kesemua mereka terpaksa berhenti sebanyak lapan kali sebelum sampai ke tapak baharu.
Jelasnya, dengan bantuan penduduk kampung, rumah berusia 20 tahun dan dianggarkan seberat dua tan itu berjaya dipindahkan.
Jamaluddin berkata, idea memindahkan rumah tersebut secara gotong-royong tercetus apabila meluahkan kepada penduduk kampung mengenai kos perpindahan menggunakan jentera yang diupah terlalu tinggi.