SHAH ALAM - Tindakan pasangan kekasih melarikan tiga utas rantai tangan serta dua cincin emas bernilai lebih RM100,000 dalam kejadian di sebuah kedai emas di sini mengundang padah apabila diberkas di Bandar Puncak Alam pada Jumaat.
Kedua-dua suspek masing-masing merupakan lelaki dan wanita warga tempatan dipercayai melakukan kegiatan jenayah itu di sebuah kedai emas di Shah Alam, 26 April lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua suspek diberkas susulan maklumat dan siasatan dijalankan.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 3.20 petang di sekitar Bandar Puncak Alam.
"Siasatan mendapati kedua-dua suspek yang merupakan pasangan kekasih berumur 25 dan 23 tahun serta tidak bekerja.
"Selain itu, semakan mendapati dua suspek terbabit tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, dua suspek terbabit turut didapati bebas dari sebarang pengaruh dadah menerusi ujian saringan awal air kencing yang dijalankan.
"Dua suspek ini direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah kedai emas di Shah Alam mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas tiga utas rantai tangan serta dua cincin emas dilarikan seorang lelaki dan wanita yang berpura-pura hendak membeli barang kemas itu, 26 April lalu.
Mohd Iqbal berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang perempuan berusia 26 tahun yang juga jurujual kedai berkenaan pada jam 4.55 pagi, keesokan harinya.
Jelas beliau, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kedua-dua suspek berpura-pura berminat untuk membeli barangan kemas.
Ujar beliau, ketika jurujual sibuk mengambil pelbagai barangan emas untuk ditunjukkan, suspek wanita telah bertindak mengambil beberapa barang kemas tanpa disedarinya.
Kehilangan itu hanya disedari selepas pasangan tersebut beredar dan berdasarkan
hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai emas berkenaan.