KUANTAN – Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Negara pada 23 Mac lalu telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk diperkenankan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, selepas diperkenankan, RUU berkenaan akan diwartakan dalam Warta Kerajaan dan dikuatkuasakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurutnya, pindaan terbaharu itu amat penting khususnya dalam aspek pengurusan dan pengawalseliaan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Pasukan Kadet Bomba, Pasukan Bomba Persendirian, perunding dan firma perunding keselamatan kebakaran.
"Ia turut merangkumi pengurusan serta kawal selia individu kompeten dan kontraktor keselamatan kebakaran, penyedia latihan berdaftar, pengajar dan kelengkapan memadam kebakaran serta pepasangan keselamatan kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2025 di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1), di sini pada Ahad.
Sambutan tersebut disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Sementara itu, Kor Ming berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menghargai jasa serta pengorbanan anggota bomba dalam menjaga keselamatan rakyat dan negara.
"Dedikasi yang sentiasa ditonjolkan pasukan dalam menyelamatkan nyawa, memulihkan krisis yang tidak dijangka serta memastikan negara kekal selamat amat dihargai.
"Dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights pada pagi Syawal lalu, kita dapat menyaksikan keberanian luar biasa anggota bomba yang sanggup mara ke hadapan demi menyelamatkan nyawa dan harta benda mangsa,” katanya.
Kor Ming berkata, pemilihan Kuantan sebagai lokasi sambutan adalah sebagai tanda penghargaan terhadap keperibadian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang berjiwa rakyat dan sentiasa mendukung prinsip ‘raja dan rakyat berpisah tiada’.
Sambutan bertemakan ‘Bomba Tonggak Penyelamatan Negara’ turut diserikan dengan perarakan 34 kontinjen serta 50 jentera yang melibatkan lebih 1,500 anggota dari pelbagai agensi termasuk JBPM, PBS, Bomba Pelabuhan Kuantan, Bomba Tentera Udara Diraja Malaysia, Pasukan Tindak Balas Perkhidmatan Petrokimia dan Bomba Petronas (CEFS).
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dalam titah perasmiannya menzahirkan penghargaan kepada warga bomba atas jasa dan perkhidmatan yang dicurahkan.
"Kerajaan dan rakyat Pahang amat berterima kasih atas komitmen yang ditunjukkan anggota bomba sepanjang masa. Tanpa mereka, penyelesaian terhadap bencana seperti banjir dan kemarau pasti lebih sukar dicapai,” titah baginda.