Gelap mata tawaran untung 200 peratus, RM1.8 juta lesap kena 'scam'

Iklan
Mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM1.8 juta ke beberapa akaun bank antara November 2024 hingga Januari 2025 sebagaimana yang diarahkan oleh suspek. Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas berputih mata apabila wang pelaburannya berjumlah RM1.8 juta lesap akibat terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, mangsa yang berusia 66 tahun itu pada mulanya telah tertarik dengan iklan pelaburan di media sosial yang menawarkan pulangan tinggi dalam tempoh yang singkat.

Iklan
Iklan

Katanya, mangsa turut menekan pautan yang diberikan bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut dan tawaran keuntungan sebanyak 200 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat dalam tempoh tiga bulan.

"Kerana percayakan keuntungan segera yang dijanjikan, mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM1.8 juta ke beberapa akaun bank antara November 2024 hingga Januari 2025 sebagaimana yang diarahkan oleh suspek.

Iklan

"Mangsa juga telah memuat turun aplikasi dan mendaftar akaun di aplikasi berkenaan bagi tujuan memantau pelaburannya, namun sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang pulangan sebagaimana yang dijanjikan.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis apabila tersedar bahawa dia telah ditipu apabila gagal menghubungi suspek dan akses ke aplikasi berkenaan juga telah disekat,” katanya.

Iklan

Kes disiasat di bawah kesalahan tipu menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang dilihat di media sosial dan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan menarik.

Orang ramai juga diminta membuat semakan dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti bagi mendapatkan kepastian dan maklumat lanjut.

Semua info terkini berkaitan modus operandi jenayah komersil boleh diperolehi dengan melayari facebook, Instagram dan tik tok Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).