Gaji sebenar rakyat Malaysia susut tiga kali ganda

Iklan
Perbandingan gaji permulaan graduan universiti (1984-2024). Gambar kecil: Muhammad

SHAH ALAM - Kadar gaji sebenar rakyat Malaysia telah menyusut hampir tiga kali ganda dalam tempoh 40 tahun, kata bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata, berdasarkan pengiraan ringkas, gaji permulaan graduan universiti pada hari ini hanya sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan berbanding nilai gaji permulaan sebanyak RM1,300 sebulan diterimanya pada tahun 1984.

Iklan
Iklan

Beliau berpandangan, gaji setaraf untuk graduan universiti pada zaman sekarang sepatutnya mencecah RM7,000 hingga RM8,000 sebulan dengan mengambil kira kadar inflasi tahunan sebanyak lima peratus.

"Itu bersamaan dengan kuasa beli sekitar RM300 hingga RM400 pada tahun 1980-an. Secara realiti, gaji kita sudah merosot sekurang-kurangnya tiga kali ganda.

Iklan

"Jika sistem pendidikan dan struktur ekonomi negara tidak dirombak, anak-anak kita berkemungkinan terpaksa bekerja sebagai buruh berkemahiran rendah," katanya.

Beliau berkata, Malaysia sebenarnya sudah lama berada dalam perangkap pendapatan sederhana dan isu gaji rendah bukan perkara terpencil, sebaliknya berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait.

Iklan

Jelas beliau, faktor terlibat adalah kebergantungan kepada pekerja asing, kegagalan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan berkualiti serta kelemahan sistem pendidikan.

Majoriti pekerja asing di Malaysia berada dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) seperti perladangan, perikanan, kilang, tapak pembinaan, restoran dan pekerjaan domestik.

Sehingga 31 Disember 2024, jumlah tenaga kerja negara adalah seramai 16.78 juta orang dengan 14 peratus ataupun 2.37 juta orang terdiri dari pekerja asing.

"Kebanyakan pekerja asing yang diambil sejak beberapa dekad lalu berkemahiran rendah dan tidak berpengalaman, menjadikan kos pengambilan mereka lebih murah.

"Situasi terbabit memberi saingan terus kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40) memandangkan gaji mereka tidak meningkat," ujarnya.

Muhammad berkata, Malaysia juga belum berjaya mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat disebabkan ekonomi kurang cekap dan tidak berskala besar, menyebabkan negara gagal cipta peluang pekerjaan berkualiti untuk graduan.

Katanya, sistem pendidikan dan latihan kemahiran yang dilaksanakan juga dikhuatiri sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi memenuhi keperluan pasaran abad ke-21, sekali gus menjejaskan produktiviti dan daya saing negara.

"Semua isu terbabit adalah cerminan kepada sikap kerajaan yang masih teragak-agak dan terlalu berhati-hati untuk melakukan reformasi menyeluruh.

"Jadi, saya berpandangan, Malaysia wajar menghentikan kebergantungan kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memberi tumpuan kepada struktur pekerjaan untuk memajukan ekonomi," katanya.

Laporan khas ini tersedia dalam bentuk digital. Imbas untuk bacaan penuh.

Kerja kemahiran rendah

Mengulas lanjut, beliau mendapati kebanyakan pekerjaan baharu yang diwujudkan di Malaysia merupakan kerja berkemahiran rendah tanpa memerlukan pengalaman dan ia menarik kemasukan pekerja dari negara seperti Nepal, Bangladesh dan Indonesia berikutan kadar gaji di Malaysia adalah tiga kali ganda lebih tinggi.

Tambah Muhammad, Malaysia juga mengalami aliran keluar bakat khususnya dalam bidang kejururawatan apabila ramai jururawat berhijrah ke Singapura, Timur Tengah, Australia dan New Zealand.

Berdasarkan data dikeluarkan JobStreet, purata gaji bulanan jururawat di Malaysia adalah sebanyak RM2,700 hingga RM3,400 sebulan, manakala Singapura antara RM11,000 hingga RM13,000 sebulan dan Arab Saudi hampir RM7,000 sebulan.

Katanya, terdapat ramai rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari ke Singapura, yang bukannya untuk menjadi ketua pegawai eksekutif ataupun ketua pegawai kewangan, sebaliknya sekadar melakukan kerja manual disebabkan gaji di negara jiran yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, Malaysia berisiko bertukar daripada ‘pengeksport bakat’ kepada ‘pengeksport tenaga buruh’, jika terus gagal mengubah struktur ekonominya dan tidak mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi.

"Jika suatu hari nanti anak-anak kita bekerja sebagai pembantu rumah di negara jiran, saya tidak akan terkejut. Ia sangat mungkin berlaku," katanya.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli mencadangkan agar klasifikasi kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 diubah kepada struktur baharu iaitu B20, M50 dan T30 selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji minimum negara kepada RM1,700.

Klasifikasi baharu yang dibangunkan oleh Khazanah Research Institute (KRI) terbabit mengkategorikan isi rumah berdasarkan keupayaan dan corak perbelanjaan, bukan semata-mata berdasarkan jumlah pendapatan.

Bagaimanapun, Muhammad mempersoalkan sama ada ia benar-benar mencerminkan realiti ekonomi rakyat Malaysia kerana berdasarkan pemerhatiannya, kumpulan B40 kini mungkin sudah meliputi sehingga 60 peratus rakyat mengikut sistem klasifikasi lama.

Katanya, gaji rakyat hampir tidak menunjukkan sebarang peningkatan terutamanya selepas Covid-19 dengan ramai dalam golongan B40 tidak mempunyai simpanan dan hidup dalam kesempitan kewangan sementara menunggu gaji setiap bulan.

Bertentangan dengan kepercayaan generasi terdahulu, Muhammad anggap tahun-tahun beliau bekerja pada 1960-an adalah zaman keemasan disebabkan dia sudah mampu beli kereta selepas enam bulan bekerja, dan mampu beli rumah selepas tiga tahun.

"Bagaimanapun, persoalannya adakah anak muda hari ini akan hidup lebih baik daripada kita? Saya tidak pasti.

Dalam perkembangan sama, Muhammad melihat kerajaan dan rakyat masih belum mempunyai rasa mendesak yang tinggi kerana tiada pemikiran untuk bersaing walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Menurut beliau, kurangnya dorongan untuk melakukan pembaharuan menjadi punca Malaysia kekal terperangkap dalam pendapatan sederhana.

Muhammad merupakan graduan Harvard dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Danamodal Nasional Bhd semasa Krisis Kewangan Asia 1997 dan sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia dari 2016 hingga 2018.

Sehubungan itu, beliau telah menyaksikan sendiri ketahanan ekonomi Malaysia dan percaya dengan potensi untuk berubah dan mencapai status negara berpendapatan tinggi.

"Lihat sahaja pada tahun 1960-an, China, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun mempunyai pendapatan per kapita lebih rendah daripada Malaysia, namun pendapatan mereka meningkat lima hingga enam kali ganda kira-kira 40 tahun kemudian.

Beliau menegaskan, Malaysia tidak sepatutnya hanya membandingkan dirinya dengan negara ASEAN atau negara ekonomi lemah, sebaliknya perlu meletakkan penanda aras terhadap ekonomi berprestasi tinggi.

Kata beliau, tumpuan kepada angka KDNK adalah langkah yang silap dan petunjuk sebenar pertumbuhan ekonomi seharusnya berdasarkan struktur pekerjaan.

"Apakah jenis industri yang diwujudkan? Apakah pekerjaan masa depan yang diperlukan? Sektor mana yang menjana peluang pekerjaan? Adakah pekerjaan itu bernilai tinggi?

"Saya percaya kita perlu berhenti terlalu fokus kepada pertumbuhan KDNK. Dalam pelbagai forum antarabangsa yang saya sertai, pembuat dasar di negara maju tidak bercakap tentang KDNK, sebaliknya mereka bercakap tentang pekerjaan. Itu yang penting," tegas beliau.