BIARPUN baru digandingkan, kuartet 4×100 meter (m) negara tidak mengecewakan apabila meraih podium di belakang skuad Jerman pada Kejohanan Olaharaga Super Series di Stadium Merdeka pada Sabtu.
Kuartet yang dibarisi Khairul Hafiz bersama Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Muhammad Zulfiqar Ismail mencatat masa 40.55 saat (s), sekali gus menamatkan saingan di belakang dua pasukan elit dari Jerman.
Pasukan Jerman A yang diketuai Kevin Kranz, Owen Ansah, Yannick Wolf dan Lucas Ansah-Peprah mendominasi perlumbaan dengan catatan 38.26s.
Jerman B yang dibarisi Julian Wagner, Alexandar Askovic, Chdiera Onuoha dan Heiko Gussmann pula melakukan catatan 38.84s untuk berada di tempat kedua.
Khairul Hafiz menyifatkan keputusan tersebut sebagai permulaan yang baik dan positif buat mereka.
Katanya, meskipun kali pertama digandingkan dalam kejohanan berprestij itu, mereka berjaya menunjukkan keserasian yang baik sepanjang perlumbaan.
"Sudah tentu kita mengharapkan gandingan ini dapat memberikan yang terbaik pada Sukan SEA nanti. Kita mahu kekalkan momentum dan mempertahankan pingat yang dimenangi sebelum ini.
"Dengan adanya Azeem (Muhammad Azeem Mohd. Fahmi), kita ada lima pelari utama. Ini penting bagi memastikan pasukan kekal kukuh jika berlaku kecederaan,” katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki termasuk teknik larian dan pertukaran baton terutama menjelang Kejohanan Olahraga Asia ke-26 di Korea Selatan hujung bulan ini.
"Ini pengalaman berharga buat kami. Daripada segi teknikal, banyak lagi perlu diperhalusi kerana ini kejohanan pertama kami digandingkan.
"Kami hanya sempat berlatih selama dua minggu sebelum kejohanan ini,” katanya.
Dalam pada itu, kuartet wanita negara turut mencatat keputusan membanggakan apabila meraih pingat perak dalam acara 4x100m dengan catatan 45.50s, tewas kepada kuartet Jerman B yang merekodkan 43.43s.
Kuartet wanita terdiri daripada Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkipli, Nur Afrina Batrisyia dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal, manakala tempat ketiga diraih pasukan Kuala Selangor Team dengan catatan 58.61s.