Spa mewah sarang pelacuran, 10 wanita asing diselamatkan

Iklan
Sebahagian besar daripada mereka bersembunyi dalam bilik rahsia yang dipercayai disediakan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

JOHOR BAHRU – Kegiatan licik sindiket pelacuran berselindung di sebalik perniagaan spa dan pusat urut di bandar raya ini terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu premis berkenaan pada Khamis lalu.

Serbuan yang dijalankan jam 3.15 petang itu turut menyelamatkan seramai 10 wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu dilakukan hasil aduan awam dan risikan oleh Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

"Seramai 58 pegawai pelbagai pangkat digerakkan ke lokasi melibatkan anggota dari Ibu Pejabat Imigresen, JIM Johor dan JIM Negeri Sembilan.

Iklan

"Pemeriksaan ke atas premis tersebut berjaya menahan 37 wanita warga Vietnam dan 16 wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Kesemua individu ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen.

Katanya, sindiket dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran secara tertutup menggunakan aplikasi WhatsApp dan WeChat bagi menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan tertentu.

Iklan

"Bayaran dikenakan antara RM200 hingga RM300 sejam bergantung kepada pakej dan tempoh perkhidmatan.

"Turut ditahan, 11 lelaki warga Indonesia, Vietnam dan Bangladesh yang bekerja sebagai tukang cuci serta tujuh lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai penjaga atau 'kapten' kepada wanita terbabit," katanya.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, beberapa wanita asing didapati sedang melayan pelanggan terdiri daripada warga tempatan dan pelancong asing.

"Sebahagian besar daripada mereka bersembunyi dalam bilik rahsia yang dipercayai disediakan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui wang tunai berjumlah RM128,464 dipercayai hasil kegiatan pelacuran," katanya.

Serbuan yang dijalankan jam 3.15 petang itu turut menyelamatkan seramai 10 wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks.

Zakaria berkata, siasatan awal menggunakan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI 2.0) mengenal pasti 10 wanita terdiri daripada enam warga Vietnam dan empat warga Indonesia sebagai mangsa pemerdagangan orang.

"Mereka dipercayai diperdaya dengan tawaran pekerjaan, tidak dibayar gaji, dikawal pergerakan serta pasport dipegang pihak sindiket.

"Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Jelasnya, kesemua mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan sementara siasatan dijalankan, manakala tahanan lain ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen.

"Tindakan lanjut juga diambil di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta peraturan berkaitan terhadap individu lain yang terlibat.

"Jabatan Imigresen menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan eksploitasi warga asing supaya tindakan tegas dan segera dapat diambil bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang di negara ini,” katanya.