Pembangunan tidak terancang sukar tangani isu banjir di Selangor - Izham

Iklan
Izham ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran Pesawah Sungai Leman di Dewan Seri Sekinchan di sini pada Sabtu.

SABAK BERNAM - Pembangunan yang tidak terancang terutama di kawasan kampung dikenal pasti sebagai antara isu utama yang menyukarkan usaha menangani isu banjir di Selangor.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, keadaan itu menyebabkan wujudnya penempatan tidak tersusun dan memerlukan pelaksanaan langkah segera bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.

Iklan
Iklan

"Kita perlu ambil langkah drastik, kalau kita perlu ambil tanah buat parit besar atau pintu air segera, kita buat terus.

"Kita tidak boleh tunggu lagi kerana rakyat menghadapi kesan yang besar akibat perubahan cuaca tidak menentu termasuk hujan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran Pesawah Sungai Leman di Dewan Seri Sekinchan di sini pada Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, katanya, beliau akan melawat kawasan lokasi panas banjir Klang pada Isnin bagi melihat segala langkah segera yang telah dirancangkan sebelum ini dilaksanakan sewajarnya.

Ujar beliau, lawatan itu akan melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Iklan

"Baru-baru ini, kita telah buat untuk Sri Muda dan kita kenal pasti berapa tempat boleh buat segera sementara tunggu projek besar siap.

"Kita tidak boleh tunggu (projek besar siap) sebab banjir ini beri kesan besar kepada rakyat," jelas beliau.

Terdahulu, media melaporkan. kerajaan Selangor memutuskan pelaksanaan 11 langkah drastik mitigasi banjir membabitkan kawasan kritikal di Selangor termasuk Taman Sri Muda, Shah Alam, Meru, Klang dan Taman Seri Alam, Bandar Saujana Utama.