KOTA KINABALU - Seorang remaja maut manakala rakannya parah selepas dilanggar motosikal ketika melintas jalan di kawasan Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhampiran Plaza Alam Mesra di sini pada malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu, kedua-dua pejalan kaki dipercayai remaja berusia belasan tahun dikatakan sedang melintas jalan sebelum dirempuh motosikal yang melalui kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan melibatkan dua pejalan kaki dan dua motosikal.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila seorang penunggang wanita dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke Sepanggar, dan sebaik tiba di lokasi, terdapat dua pejalan kaki tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Delima.
"Disebabkan jarak motosikal yang sudah terlalu dekat dan tindakan dua pejalan kaki melintas secara mengejut, penunggang tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar kedua-duanya.
"Pelanggaran itu menyebabkan seorang pejalan kaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kasim berkata, mangsa yang parah telah dihantar ke hospital untuk dirawat, manakala mangsa yang maut turut dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
Tambah beliau, terdapat sebuah lagi motosikal yang tidak dapat dipastikan jenis dan nombor pendaftarannya turut dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
"Penunggang motosikal tersebut telah melarikan diri dari tempat kejadian dan masih belum dikenal pasti.
"Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti penunggang motosikal yang melarikan diri itu," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya.