Warganet sokong langkah kerajaan wajibkan klinik, farmasi pamer harga ubat

Iklan
Cetakan Laman X Sinar Harian mengenai undian langkah kerajaan wajibkan klinik swasta dan farmasi komuniti pamer harga ubat

SHAH ALAM – Majoriti warganet bersetuju dengan inisiatif kerajaan mengarahkan semua klinik swasta dan farmasi komuniti mempamerkan harga ubat mulai 1 Mei 2025 sebagai salah satu usaha mengelak kegiatan manipulasi pasaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menerusi undian dalam talian di beberapa platform media sosial Sinar Harian, orang ramai diberi peluang untuk mengundi sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan langkah terbaharu kerajaan tersebut.

Iklan
Iklan

Berdasarkan undian menerusi Facebook Sinar Harian setakat jam 11 pagi Sabtu, sebanyak 88 peratus undian bersetuju dengan langkah terbaharu yang diperkenalkan kerajaan, manakala 12 peratus tidak menyokong kerana alasan tertentu.

Hasil undian menerusi Instagram Sinar Harian pula mendapati 96 peratus warganet bersetuju dengan langkah kerajaan tersebut, manakala empat peratus tidak bersetuju.

Iklan

Sementara itu, hasil undian di laman X pula mendapati 92 peratus warganet bersetuju, manakala lapan peratus lagi tidak menyokong.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pelaksanaan Inisiatif Penandaan Harga Ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti seluruh negara mulai 1 Mei lalu diyakini mampu mengelak pengguna daripada menjadi mangsa manipulasi harga oleh pihak tertentu.

Iklan

Pakar Governan Persekitaran dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, langkah itu memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

Menurutnya, inisiatif berkenaan membuka ruang kepada pengguna untuk membandingkan harga dan memilih jenama ubat yang bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.

"Dengan harga yang dipamerkan, pesakit boleh membuat keputusan awal dan tidak perlu tertekan sekiranya bajet tidak mencukupi untuk membeli ubat-ubatan mahal.

"Apabila ada harga, kita boleh pilih jenama berdasarkan harga dan kandungan. Ini memberi kelebihan kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dasar baharu kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Fasiliti yang terlibat termasuk semua kemudahan jagaan kesihatan swasta di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] serta farmasi komuniti yang menjual, membekal atau memberikan ubat kepada pengguna.