Pemandu lori 'lalok' dadah rempuh dua kenderaan

Iklan
Seorang pemandu lori tangki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak merempuh sebuah kereta sebelum kenderaan berat dipandunya melanggar sebuah lagi lori dari arah bertentangan dalam kejadian di Kilometer 39, Jalan Kuala Lumpur–Ipoh pada Jumaat.

BATANG KALI – Seorang pemandu lori tangki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak merempuh sebuah kereta sebelum kenderaan berat dipandunya melanggar sebuah lagi lori dari arah bertentangan dalam kejadian di Kilometer 39, Jalan Kuala Lumpur–Ipoh pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.35 petang itu, insiden membabitkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah Proton Saga, sebuah lori treler jenis Hino, dan lori tangki yang dipandu suspek berusia 57 tahun.

Iklan
Iklan
Keadaan sebuah lori yang terlibat dalam insiden membabitkan tiga kenderaan di di Kilometer 39 Jalan Kuala Lumpur–Ipoh pada Jumaat.

"Kemalangan berlaku apabila kereta dipandu seorang wanita tempatan dari arah Selayang ke Batang Kali dirempuh dari belakang oleh lori tangki terbabit.

"Selepas merempuh kereta itu, lori tangki berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah lori treler yang datang dari arah bertentangan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati pemandu lori tangki itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek yang merupakan lelaki tempatan itu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kesemua individu yang terlibat dalam kemalangan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

"Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan 32 rekod kesalahan trafik," katanya.

Menurutnya, para majikan diingatkan supaya menjalankan semakan latar belakang individu sebelum mengambil mereka bekerja, terutamanya bagi jawatan yang melibatkan pemanduan kenderaan berat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan," katanya.