KESIHATAN mental merupakan aspek penting dalam kesejahteraan individu dan masyarakat.
Namun, pesakit mental yang tidak dirawat atau tidak stabil boleh menjadi ancaman kepada keselamatan diri sendiri dan orang di sekeliling, termasuk ahli keluarga.
Seperti kejadian yang berlaku ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dipercayai cedera ditikam oleh bapanya yang merupakan seorang guru, dalam kejadian di Kampung Banggol Che Dol di Pasir Mas, Kelantan, pada Jumaat.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 pagi, melibatkan lelaki berusia 40-an yang didakwa mempunyai masalah mental.
Mangsa, anak bongsu daripada enam beradik itu kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, selepas dipercayai ditikam di bahagian perut oleh bapanya.
Kejadian seumpama itu sering kali menimbulkan persoalan: sampai bilakah ahli keluarga dan masyarakat setempat harus mempertaruhkan nyawa dengan kewujudan golongan ini tanpa rawatan?
Justeru, langkah proaktif perlu diambil segera, terutamanya oleh ahli keluarga atau waris, agar dapat memelihara nyawa orang di sekeliling penghidap penyakit mental.
Langkah pertama dan paling penting ialah tindakan ahli keluarga untuk memastikan pesakit mendapat diagnosis yang tepat dan rawatan awal. Rujukan kepada pakar psikiatri harus dilakukan seawal mungkin.
Banyak kes menjadi serius kerana keluarga menangguhkan rawatan atau menganggap gejala sebagai ‘masalah biasa’.
Selain itu, ramai pesakit mental memerlukan ubat untuk mengawal simptom mereka. Ahli keluarga juga harus membantu memantau pematuhan kepada ubat-ubatan seperti yang disyorkan oleh doktor, kerana pengambilan ubat secara tidak konsisten boleh menyebabkan simptom bertambah buruk.
Selain ubat, terapi seperti kaunseling dan terapi tingkah laku kognitif boleh membantu pesakit menguruskan emosi serta kelakuan agresif. Program sokongan komuniti atau kumpulan sokongan turut memberi impak positif.
Dalam pada itu, ahli keluarga wajib peka terhadap tanda-tanda pesakit menjadi tidak stabil seperti perubahan emosi yang mendadak, kelakuan agresif atau kenyataan yang menunjukkan niat mencederakan orang lain. Tindakan segera harus diambil jika tanda-tanda tersebut muncul.
Jika pesakit menunjukkan risiko mencederakan orang lain, keluarga perlu memastikan rumah bebas daripada objek tajam atau berbahaya.
Dalam kes yang lebih serius, langkah keselamatan seperti memasang kunci tambahan atau mendapatkan pengawasan profesional mungkin diperlukan.
Jika keselamatan ahli keluarga terancam, tindakan segera melibatkan pihak hospital, polis atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah wajar.
Ini bukan bertujuan menghukum pesakit, tetapi melindungi semua pihak termasuk pesakit itu sendiri. Bagaimanapun, menjaga pesakit mental memerlukan empati, ilmu dan kesediaan untuk bertindak.
Dengan pendekatan yang betul dan kerjasama bersama pihak kesihatan, risiko kecederaan kepada ahli keluarga boleh diminimumkan dan pesakit boleh diberi peluang untuk pulih serta berfungsi secara positif dalam masyarakat.