PILIHAN Raya Umum Singapura 2025 (GE2025) pada 3 Mei 2025 ini akan memperlihatkan satu perkembangan penting dalam sejarah politik Kota Singa apabila pengundi muda muncul sebagai kumpulan yang berpotensi besar mempengaruhi keputusan pilihan raya. Untuk rekod, GE2025 merupakan pilihan raya pertama selepas peralihan kuasa kepada Perdana Menteri Lawrence Wong setelah Lee Hsien Loong menerajui kepimpinan sejak dua dekad lalu.
Selain itu, kemunculan lebih ramai calon anak muda dalam pilihan raya kali ini turut memberi dimensi baharu kepada percaturan politik dengan jumlah lebih 22% daripada 2.76 juta pengundi berdaftar terdiri daripada generasi muda berusia 21 hingga 35 tahun. Pertambahan pengundi kali pertama dalam setiap pilihan raya menambah rencah baru kerana kelompok ini membawa pandangan dan naratif yang lebih progresif dan tidak terikat kepada status quo politik. Dengan jumlah yang signifikan dan kecenderungan terhadap perubahan serta pembaharuan, generasi muda kini memainkan peranan penting dalam mencorak arah tuju politik Singapura akan datang.
Anak Muda Penentu Kalah Menang GE2025
Sebanyak 44 calon berusia di bawah 40 tahun bertanding dalam GE2025, meningkat daripada 32 calon pada GE2020 lalu. Calon termuda ialah Heng Zheng Dao berusia 24 tahun, dari Parti Kuasa Rakyat (PPP), yang bertanding di Ang Mo Kio GRC menentang bekas Perdana Menteri Lee Hsien Loong. Parti Pekerja (WP) dan Parti Rakyat Singapura (SPP) menampilkan barisan calon termuda dengan usia median sekitar 45 tahun, menunjukkan komitmen mereka terhadap pembaharuan politik.
Menurut tinjauan YouGov, pengundi Gen Z lebih cenderung untuk mengubah pendirian mereka sepanjang tempoh kempen, menunjukkan keterbukaan mereka terhadap pelbagai pandangan politik. Sebaliknya, pengundi lebih berusia cenderung untuk tetap dengan pilihan mereka sejak awal.
Platform Digital Pentas Demokrasi Digital
Lantaran itu, penggunaan platform digital seperti Facebook, Instagram, TikTok, YouTube dan X oleh calon dan pengundi bukan sahaja memperkaya landskap politik negara, malah membuka ruang baharu kepada keterlibatan generasi muda dan menyasarkan kepada kelompok apolitikal dalam membina kepercayaan, memperjuangkan naratif, dan memperluas makna demokrasi dalam era teknologi.
Sebagai contoh, pendekatan kempen yang lebih santai dan peribadi melalui vlog, sesi soal jawab interaktif, video pendek berbentuk humor atau pendidikan, serta siri ‘behind the scenes’ adalah sebahagian daripada strategi sepanjang kempen. Beberapa calon turut mencipta lagu kempen malah ada yang mengungkapkan lirik lagu raya dari Malaysia"Serumpun” dalam ucapan dan video parody berunsur politik untuk menyampaikan mesej secara kreatif lantaran pendekatan ini terbukti lebih mudah dihadam dan dikongsi oleh pengundi muda.
Lebih menarik, bukan hanya calon yang bertanding, bahkan para pengundi turut memanfaatkan platform digital untuk mendapatkan maklumat, menilai calon, dan berkongsi pandangan politik. Golongan muda khususnya lebih cenderung mengikuti perkembangan pilihan raya melalui sumber tidak rasmi seperti forum Reddit Singapura, klip TikTok politik, podcast, dan saluran YouTube bebas. Hal ini memperluas akses kepada pelbagai perspektif, termasuk dari sisi pembangkang dan masyarakat madani lain.
Lebih meriah lagi, pengundi muda kini bukan sekadar penerima maklumat tetapi juga penghasil kandungan politik, sama ada melalui ciapan kritis, meme sindiran, video reaksi atau ulasan analisis pilihan raya. Kehadiran pengundi sebagai"micro-influencer” politik telah menambah kepelbagaian suara dan mencabar dominasi naratif politik arus perdana lantas menjadikan media sosial sebagai alat penting dalam kempen demokrasi politik moden.
Isu Yang Menjadi Perhatian Generasi Muda
Generasi muda menuntut lebih banyak ketelusan dalam tadbir urus serta ruang yang lebih besar untuk kebebasan bersuara dan perbahasan politik terbuka. Mereka juga menekankan isu seperti perubahan iklim, keadilan sosial, kesaksamaan gender, digitalisasi dan ketelusan kerajaan. Hal ini menyebabkan parti-parti politik untuk menyesuaikan dasar mereka agar lebih relevan dengan kehendak golongan muda. Perkara ini menjadikan generasi muda sebagai"swing voters” yang strategik yang perlu diberi perhatian dan dijadikan keutamaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Lawrence Wong pada Mac 2025 lalu telah melancarkan Piagam Belia sebagai usaha untuk mendekati dan melibatkan generasi muda dalam proses pembangunan negara. Piagam ini bertujuan untuk mengiktiraf suara belia Singapura dan memastikan mereka mempunyai platform untuk menyuarakan pandangan serta menyumbang kepada pembentukan dasar.
Namun demikian, sejauh manakah keberkesanannya dalam menarik minat dan sokongan anak muda kepada politik dan sokongan kepada parti pemerintah? Dalam konteks Pilihan Raya Umum (GE2025), Piagam Belia ini dilihat sebagai salah satu strategi Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk terus menawan hati pengundi muda. Ia mungkin dilihat membantu membina imej progresif kerajaan, tetapi pada masa yang sama, generasi muda kini lebih celik maklumat dan kritikal dalam menilai dasar. Mereka tidak mudah dipengaruhi oleh retorika politik tanpa pelaksanaan yang nyata.
Ternyata jika ia hanya bersifat simbolik atau tidak disertai dengan tindakan susulan, maka anak muda mungkin akan melihatnya sebagai gimik politik semata-mata. Selain itu, tahap kebebasan bersuara dan ruang untuk perbezaan pandangan politik masih menjadi isu penting. Sekiranya suara yang kritikal terhadap kerajaan tidak diberi ruang secukupnya, maka minat anak muda terhadap politik mungkin tetap terbatas.
Justeru, penekanan terhadap prinsip keterangkuman, penglibatan bermakna, dan pembangunan potensi belia untuk menyertai perbincangan dasar awam, menyumbang idea dalam sesi dialog kebangsaan, serta menyertai forum dan bengkel yang berkaitan dengan isu-isu awam dan semasa adalah amat penting.
Pendekatan ini dapat mengurangkan rasa terasing generasi muda daripada proses politik arus perdana. Namun demikian, untuk benar-benar berkesan dalam menarik minat dan sokongan anak muda, ia perlu disusuli dengan tindakan konkrit, keterbukaan terhadap kritikan, dan komitmen terhadap perubahan dasar yang selaras dengan aspirasi generasi muda.
Pilihan Raya Umum Singapura (GE2025) menandakan era baharu dalam politik negara di hujung selatan Malaysia, di mana generasi muda berperanan sebagai agen perubahan melalui penglibatan aktif dalam politik, bukan sahaja sebagai pengundi tetapi juga sebagai calon dan pencetus wacana. Penglibatan aktif mereka mencerminkan perubahan dalam landskap politik negara dengan penekanan terhadap pembaharuan, keterbukaan, dan inklusiviti.
Pengalaman Singapura ini menawarkan beberapa pengajaran berharga kepada generasi muda Malaysia yang juga berdepan dengan cabaran politik yang kompleks dan dinamik. Dengan sokongan dan ruang yang sesuai, generasi muda berpotensi untuk membawa perubahan positif dan memastikan masa depan politik negara dengan membina model penglibatan politik yang sesuai dengan konteks Malaysia yang lebih dinamik dan progresif.
Penglibatan aktif anak muda dalam politik dan masyarakat madani menjadi penanda aras penting dalam menilai kematangan demokrasi sesebuah negara.
Selamat Memilih Singapura!
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)