Shafie Apdal dakwa ekonomi Sabah belum pulih di bawah kerajaan GRS

Iklan
Mohd Shafie

KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa negeri itu masih belum pulih ke tahap ekonomi pra-pandemik meskipun kerajaan negeri menyatakan berlaku pertumbuhan.

Presiden Parti Warisan (Warisan) itu berkata, berdasarkan statistik rasmi, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada 2023 berjumlah RM83.2 bilion, lebih rendah berbanding RM85.6 bilion yang dicatatkan pada 2019 ketika pentadbiran Warisan.

Iklan
Iklan

"Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang mendakwa kononnya ekonomi Sabah sedang menunjukkan pertumbuhan.

"Kenyataan tersebut jelas tidak mencerminkan realiti sebenar rakyat di peringkat akar umbi yang terus bergelut dengan tekanan hidup setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurut Shafie, angka KDNK pada 2019 merupakan yang tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah Sabah, dengan peningkatan ketara daripada RM79.7 bilion pada 2017 – satu pencapaian dalam tempoh dua tahun pentadbiran Warisan.

"Namun selepas perubahan tampuk pemerintahan pada 2020, ekonomi Sabah merosot dengan mendadak apabila KDNK jatuh kepada RM77.8 bilion.

Iklan

"Sehingga 2023, pemulihan masih belum mencapai tahap sebelumnya, dengan KDNK hanya mencecah RM83.2 bilion, iaitu masih rendah RM2.45 bilion berbanding rekod tertinggi semasa pentadbiran Warisan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Semporna itu turut mendakwa bahawa ekonomi Sabah terus mencatat pertumbuhan tahunan semasa Warisan memerintah dari 2018 hingga 2020, meskipun berdepan cabaran getir termasuk pandemik Covid-19.

"Dalam tempoh lebih dua tahun, kami berjaya merintis pencapaian ekonomi yang boleh diukur. Sebaliknya, GRS yang telah mentadbir lebih empat tahun masih gagal menunjukkan hasil yang setimpal.

"Antara pendekatan utama Warisan ialah memperkasa sektor hiliran supaya Sabah tidak sekadar menjadi pengeksport bahan mentah, sebaliknya terlibat dalam pengeluaran produk bernilai tambah,” jelasnya.

Beliau menambah, usaha tersebut merupakan sebahagian pelan jangka panjang Warisan untuk mengubah struktur ekonomi negeri kepada model berasaskan nilai tambah dan penciptaan peluang pekerjaan berkualiti.

"Malah, dalam keadaan kewangan terbatas, kerajaan Warisan berjaya melunaskan bon RM1 bilion yang diwarisi daripada Barisan Nasional lebih awal daripada tarikh matang pada 9 Disember 2019. Bon ini diterbitkan oleh kerajaan Sabah pada 2014,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu turut mendakwa kerajaan GRS masih bergantung kepada pendekatan lama iaitu eksploitasi sumber mentah tanpa inisiatif kukuh untuk membina industri pemprosesan serta ekonomi yang mampan.

"Walaupun sering melaungkan peruntukan dan rancangan daripada kerajaan Persekutuan, statistik menunjukkan ekonomi Sabah masih lesu. Anak muda masih bergelut mendapatkan pekerjaan dan ramai keluarga hidup dalam keadaan serba kekurangan.

"Saya menyeru rakyat Sabah agar menilai prestasi pemimpin bukan berdasarkan janji atau retorik politik semata-mata, sebaliknya berdasarkan pencapaian sebenar yang boleh diukur,” tegasnya.

Shafie menyimpulkan bahawa kejayaan ekonomi sebenar bermaksud lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, serta jaminan masa depan lebih cerah buat generasi akan datang – bukan projek terbengkalai atau pengumuman berulang.