Lebih 1,500 pesilat berentap di Jengka

Iklan
Lebih 1,500 pesilat dalam dan luar negara berentap dalam kejohanan di Jengka kali ini.

Kejohanan Silat Cekak Harimau Kebangsaan dan Antarabangsa Piala Datuk Seri Shahaniza kali ke-5 berjaya menghimpunkan lebih 1,500 peserta dalam dan luar negara.

Berlangsung bermula Khamis hingga Ahad di Balora Mastika Bandar Jengka, Pahang, sebanyak 87 pasukan berentap dalam kejohanan tahun ini.

Iklan
Iklan

Pengerusi Pengelola Kejuaraan, Datuk Osman Nok berkata, kejohanan itu juga melakar pencapaian dengan penyertaan terbesar berbanding edisi sebelumnya.

"Alhamdulillah, kejohanan kali ini merupakan yang terbesar setakat ini dan menerima penyertaan dari semua negeri dalam Malaysia.

Iklan

"Kita juga menerima penyertaan pesilat negara luar seperti Indonesia; Thailand; Vietnam; Australia dan Belanda,” katanya ketika ditemui di lokasi kejohanan.

Osman (tengah) ketika ditemui di lokasi kejohanan.

Menurut Osman, kejohanan yang diadakan setiap dua tahun itu sebelum ini sering berlangsung di Temerloh, namun buat julung kalinya diadakan di luar daerah tersebut.

Iklan

Jelasnya, ia atas permintaan penaja utama, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin serta peminat silat di Maran dan Jengka.

Beliau berkata, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu kategori institusi pengajian tinggi (IPT) dan antarabangsa, pasukan Sukma Pahang remaja serta kategori tunas melibatkan pesilat cilik.

"Penyertaan dari Belanda amat kami hargai walaupun mereka mungkin tidak sehebat pasukan lain. Namun semangat mereka untuk datang dari jauh memberikan inspirasi buat semua peserta,” ujarnya.

Majlis penutup serta penyampaian hadiah akan diadakan pada Ahad dan bakal dirasmikan sendiri oleh Shahaniza.

Kejohanan tersebut turut diiktiraf di peringkat antarabangsa selepas memenuhi syarat kelulusan Suruhanjaya Sukan Malaysia (SSM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).