KOTA KINABALU - Seramai 157 individu termasuk 22 suspek yang dikehendaki polis ditahan, manakala barangan bernilai lebih RM627,000 dirampas dalam dua operasi berasingan iaitu Op Pintu/Kesan Mega dan Op Mega Lusuh/Kesan yang dijalankan di seluruh Sabah sepanjang April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim berkata, Op Pintu/Kesan Mega dilaksanakan bermula 21 hingga 30 April lalu bertujuan untuk membendung jenayah pecah rumah, kes curi serta mengesan individu yang dikehendaki polis.
"Sepanjang operasi ini, sebanyak 155 serbuan dan premis telah diperiksa, melibatkan tangkapan seramai 59 suspek atas pelbagai kesalahan dan lapan lagi yang dikehendaki polis berjaya diberkas.
"Pelbagai barangan bernilai RM171,262.40 telah dirampas, membabitkan 45 kes pecah rumah dan lain-lain kesalahan yang berjaya diselesaikan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, operasi itu adalah kesinambungan daripada kejayaan Op Mega Lusuh/Kesan yang dijalankan sebelum ini.
"Operasi sebelum ini menyasarkan jenayah kecurian kabel dan kes curi lain, melibatkan semua elemen dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sabah serta kerjasama dengan agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan, Sabah Energy Berhad dan syarikat telekomunikasi.
"Sebanyak 193 pemeriksaan dan serbuan telah dilakukan, membawa kepada tangkapan 76 individu atas pelbagai kesalahan dan 14 lagi yang dikehendaki polis.
"Pelbagai barangan bernilai kira-kira RM455,874 turut berjaya dirampas, selain tindakan diambil terhadap premis yang membeli barangan lusuh tanpa lesen dan atas kesalahan membeli barangan curi,” katanya.
Sehubungan itu, Azmi memberi jaminan bahawa pihaknya akan menjalankan operasi itu secara berterusan bagi membendung jenayah serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis.