KOTA TINGGI - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 50.2 Lebuhraya E22 Senai-Desaru pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan melibatkan dua motosikal jenis Yamaha 135LC dan Y15ZR serta sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz pada jam 10.15 malam.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa berusia 28 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC hilang kawalan ketika cuba memotong motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
"Mangsa terlanggar bahagian belakang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan mengakibatkannya terbabas ke laluan bertentangan lalu dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak sempat mengelak.
"Mangsa cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal Yamaha Y15ZR berusia 21 tahun dan pemandu Perodua Aruz berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.