GEORGE TOWN - Kumpulan persatuan pengguna menyambut baik penguatkuasaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga bagi Ubat) 2025 yang berkuat kuasa pada Jumaat.
Kumpulan tersebut terdiri daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Luar Bandar dan Ekologi Malaysia (RURAL MALAYSIA), TERAS Pengupayaan Melayu dan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL).
Kumpulan itu berkata, tindakan tersebut disifatkan sebagai langkah penting ke arah ketelusan, akauntabiliti serta pemerkasaan pengguna dalam sektor penjagaan kesihatan negara.
"Langkah itu merupakan mekanisme penting bagi mengatasi isu ketidakjelasan harga dan perbezaan harga ubat yang terlalu besar antara premis.
"Undang-undang ini tidak menetapkan kawalan harga, tetapi memberi hak kepada pengguna untuk mengetahui, memilih dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat.
Menurut mereka, harga ubat yang tidak telus selama ini menyebabkan ramai pengguna terdedah kepada caj berlebihan, sekali gus membebankan kewangan isi rumah.
"Dengan kadar inflasi perubatan Malaysia mencecah 15 peratus, lebih tinggi daripada purata serantau dan global, langkah kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini amat wajar dan tepat pada masanya.
"Cadangan asal Kementerian Kesihatan adalah untuk memperkenalkan had keuntungan ke atas ubat preskripsi tertentu yang hanya mempunyai satu pembekal, namun terpaksa digugurkan ekoran tentangan hebat daripada industri dan beberapa badan profesional," kata mereka.
Mereka menegaskan, paparan harga ubat tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada pendapatan doktor atau kelangsungan klinik swasta.
"Polisi ini hanya melibatkan harga ubat, bukan yuran konsultasi atau pendapatan profesional kesihatan.
"Pendapatan doktor adalah hasil daripada kepakaran dan perkhidmatan mereka, bukan daripada keuntungan tersembunyi jualan ubat,” ujar mereka.
Mereka turut menggesa semua penyedia penjagaan kesihatan agar mematuhi peraturan tersebut demi kepentingan awam.
"Kami juga meminta orang ramai supaya memainkan peranan dengan melaporkan sebarang ketidakpatuhan kepada pihak berkuasa.
"Sudah tiba masanya kita bina sistem kesihatan yang adil, telus dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia,” kata mereka lagi.
Terdahulu, mekanisme pemaparan harga ubat di semua kemudahan jagaan kesihatan dan farmasi telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 3 Oktober 2023, dan disusuli pembentangan Memorandum Jemaah Menteri bersama KPDN pada 8 Januari lalu.
Pemaparan harga ubat yang dikuatkuasakan mulai 1 Mei dilaksanakan melalui perintah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).
Peraturan baharu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 itu mewajibkan semua fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti memaparkan dengan jelas harga semua ubat termasuk ubat preskripsi, bukan preskripsi, ubat tradisional serta suplemen kesihatan.