SIPITANG - Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika memukat ikan bersama rakannya di Sungai Mengalong, Kampung Banting, dekat sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Punggut Madin, 51, hanya disedari hilang oleh rakan-rakannya ketika mereka menarik pukat di sungai tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.32 petang.
Katanya, seramai enam anggotanya dibantu unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Beaufort dikejarkan ke lokasi yang terletak sejauh 10 kilometer dari BBP Sipitang.
"Menurut pemanggil, mangsa dilaporkan menjalankan aktiviti memukat ikan bersama rakan-rakannya dan hanya disedari hilang dari pandangan semasa mereka menarik pukat.
"Pasukan bomba segera ke lokasi bagi mendapatkan maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sepanjang sungai tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya lagi, operasi SAR ditangguhkan selepas tidak menemui mangsa dan disambung semula pada Jumaat.
"Operasi hari ini dimulakan pada jam 6 pagi dengan keluasan pencarian sejauh dua kilometer menggunakan bot penduduk kampung.
"Bagaimanapun, operasi ditangguhkan sementara disebabkan cuaca hujan ketika ini,” katanya.
Calvin berkata, maklumat mengenai operasi SAR itu akan dikemas kini dari masa ke masa.