KUALA TERENGGANU –"Selama ini saya hanya ke sekolah naik motosikal, syukur sangat rezeki menang kereta dan dapat hadiahkan kereta pertama buat keluarga.”
Demikian luahan Nurul Syafika Abdullah, 19, pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di UNITAR Cawangan Kuala Terengganu.
Anak sulung daripada empat beradik itu tidak menyangka keputusan menyambung pengajian di universiti berkenaan memberi peluang kepadanya membawa pulang hadiah paling bermakna, iaitu sebuah kereta Perodua Axia 1.0L X (CVT).
Nurul Syafika yang berasal dari Jertih, Besut berkata, bapanya, Muhammad Faizal Nawi, 43, bekerja sebagai petani manakala ibunya, Roslina Rahiazura Abdul Rahim, 40, merupakan suri rumah sepenuh masa.
Keluarga ini tidak pernah memiliki sebuah kereta, namun segalanya berubah apabila namanya diumumkan sebagai salah seorang pemenang kempen ‘13 Kereta, 13 Pemenang. Seluruh Negara!’ anjuran Kumpulan Pendidikan UNITAR baru-baru ini.
"Saya sedang menyiapkan juadah di dapur ketika menerima panggilan dari UNITAR. Bila diberitahu saya menang kereta, saya tergamam, saya tak pernah sangka dapat hadiah itu.
"Kami bukan orang senang. Kereta ini akan kami guna bersama, paling penting untuk mudahkan mak ke pasar dan ayah ke kebun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, kenderaan itu bukan sekadar hadiah cabutan bertuah, tetapi simbol harapan dan permulaan baharu untuk keluarganya yang selama ini hidup serba sederhana.
"Saya akan belajar bersungguh-sungguh sebab saya mahu bantu keluarga keluar daripada kesusahan. Ini mungkin langkah pertama, insya-ALLAH saya akan buktikan lagi,” katanya yang kini menuntut di semester pertama universiti itu.
Sementara itu, Pengurus UNITAR Kuala Terengganu, Rohana Mamat berkata, kempen berkenaan merupakan antara inisiatif bagi menghargai pelajar serta menarik lebih ramai menyambung pengajian di institusi itu.
"UNITAR sentiasa komited membantu pelajar, terutama daripada keluarga B40, melalui biasiswa dan program sokongan pendidikan,” katanya.