Api membakar Israel: Musibah iklim atau isyarat langit?

Iklan
Anggota keselamatan dan penyelamat Israel ketika operasi memadam kebakaran hutan. Foto Reuters

DI SAAT dunia masih meratapi kekejaman dilakukan tentera rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di bumi di Gaza, kita dikejutkan dengan kejadian kebakaran besar-besaran melanda Israel sehingga memaksa negara haram terbabit meminta bantuan masyarakat antarabangsa.

Kebakaran yang berlaku antara kawasan tengah Israel antara sempadan Tel Aviv dan Baitulmaqdis berkenaan juga menyebabkan pihak berkuasa Israel terpaksa mengumumkan darurat.

Iklan
Iklan

Episod kebakaran itu bukan hanya memusnah beratus hektar hutan, kawasan penempatan dan memaksa beribu penduduk Israel dipindahkan ke tempat lebih selamat, malah mengundang 1,001 persoalan dalam kalangan masyarakat dunia.

Fenomena itu turut menimbulkan pelbagai spekulasi dan naratif dalam kalangan warganet di ruang media sosial termasuk berunsur kecaman politik, doa kehancuran, hinggalah kepada tafsiran spiritual yang mengaitkan musibah ini sebagai 'balasan dari langit'.

Iklan

Bagi umat Islam khususnya di Malaysia, ramai melihat kebakaran besar-besaran berlaku di Israel sekarang sebagai satu hukuman daripada ALLAH SWT terhadap kekejaman dilakukan rejim Zionis kepada rakyat Palestin, sejak berpuluh tahun lalu.

Malah, sehingga kini dianggarkan lebih 30,000 rakyat Palestin di Gaza maut akibat serangan bom dan senjata rejim Israel sejak Oktober lalu, manakala beratus ribu lagi termasuk kanak-kanak dan wanita mengalami kecederaan serta masih gagal dikesan.

Iklan

Jadi tidak hairanlah jika ruang media sosial dibanjiri hantaran yang menyambut kebakaran ini sebagai satu bentuk 'Keadilan Tuhan'.

Malah ada yang memuat naik semula video kebakaran dengan kapsyen seperti 'doa rakyat Palestin tidak sia-sia' atau 'inilah azab dunia'.

Namun, apakah adil untuk mengaitkan setiap musibah alam sebagai hukuman ALLAH SWT? Atau adakah ini satu bentuk penyederhanaan terhadap realiti yang lebih kompleks?

Secara faktanya, Israel memang sering mengalami kebakaran hutan pada musim panas akibat cuaca kering dan berangin.

Bagaimanapun, saintis iklim memberi amaran bahawa kejadian ini semakin ekstrem akibat perubahan cuaca global. Fenomena pemanasan bumi menyebabkan suhu lebih tinggi dan kelembapan semakin berkurang adalah satu resipi sempurna untuk kebakaran merebak.

Malah, laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) juga menunjukkan bahawa rantau Mediterranean kini antara kawasan paling terdedah kepada risiko bencana berkaitan iklim.

Ini bermakna apa yang berlaku di Israel hari ini sama seperti banjir luar biasa di Dubai atau cuaca panas ekstrem di Asia Tenggara ialah kesan langsung daripada krisis iklim yang tidak memilih sempadan bangsa atau agama.

Musibah ini harus dilihat sebagai peringatan bahawa bumi semakin ‘letih’ dengan kerakusan manusia sama ada dalam bentuk penindasan, peperangan mahupun pencemaran.

Kejadian berkenaan juga bukan sekadar berita antarabangsa, tetapi amaran kolektif untuk seluruh umat manusia agar segera kembali kepada keadilan terhadap manusia dan terhadap bumi.

Perkara berkenaan juga selari dengan firman ALLAH SWT dalam ayat 41, Surah Ar-Rum yang bermaksud;"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia..."