SHAH ALAM - Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila bilik hotel yang dihuni mereka diserbu Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang membuat pemeriksaan secara rawak.
Menerusi perkongsian di akaun TikTok milik @Haahlahzet atau mesra dipanggil Zett, ketika kejadian kelihatan beberapa anggota penguat kuasa JAIM dan polis lengkap memakai ves keselamatan dilihat sedang membuat pemeriksaan di hotel berkenaan.
Menceritakan pengalaman tersebut, wanita itu memberitahu, dia bersama suami dan anaknya daftar masuk sekitar jam 11 malam sebelum bilik hotel diketuk pada jam 2 pagi.
"Kami dari Selangor ke Melaka kerana ada kenduri dan masa itu, anak dah tidur dan saya sedang gosok baju, tiba-tiba ada orang ketuk pintu banyak kali.
"Suami kehairanan sebab kami tiada buat pesanan di bilik, lagipun sudah lewat malam dan apabila lihat dari cermin pintu, mereka tutup dengan jari tetapi masih nampak sedikit.
"Ramai pegawai JAIM dan polis (luar pintu) mereka cakap nak periksa. Sementara saya siap nak tutup aurat, suami sempat rakam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sebelum ini, video kejadian berkenaan tular di aplikasi TikTok dan meraih hampir satu juta tontonan selain 2,200 komen.
Dalam pada itu Zett yang juga pereka grafik separuh masa memaklumkan, pegawai terlibat meminta kad nikah serta pengenalan diri bagi memastikan mereka tidak memberi maklumat yang salah.
"Perasaan kena 'rush' tu memang gementar walaupun tak buat salah, malah suami memang ada (simpan) kad nikah kami.
"Pegawai JAIM sangat berhemah dan sempat minta maaf sebab ganggu, tapi ia satu pengalaman yang mendebarkan selepas enam tahun mendirikan rumah tangga," katanya.