KOTA BHARU – Kerajaan negeri berusaha menurunkan kadar air tidak berhasil (Non-Revenue Water, NRW) antara satu hingga dua peratus setiap tahun bagi meningkatkan kecekapan penghasilan bekalan air bersih kepada rakyat.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Izani Husin berkata, meskipun penurunan itu kelihatan kecil, ia mampu menjana pendapatan sehingga RM2 juta setahun.
"Kita perlu ada satu pasukan yang cekap untuk mengesan kebocoran dan membaiki saluran paip dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Kutipan Derma Bagi Membantu Mangsa Kebakaran, Tabung Aman DUN Kijang pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dr Izani berkata, antara punca utama NRW termasuk meter tersumbat, kecurian meter serta paip pecah.
"Kita telah mengambil beberapa tindakan termasuk menggantikan saluran paip, membaiki meter dan menangkap individu yang mencuri air,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri kini sedang menjalankan kerja-kerja penukaran saluran paip air melibatkan keseluruhan sepanjang 3,200 kilometer (km).
"Namun dalam tempoh setahun, hanya sekitar 150 km paip dapat diganti kerana kekangan tertentu. Maka, untuk melaksanakan penukaran sepenuhnya, ia sudah pasti mengambil masa yang agak panjang,” ujarnya.