SUNGAI PETANI – Kira-kira 15 peniaga di Medan Selera Ambangan Heights di sini mengeluh apabila perniagaan mereka terjejas teruk akibat masalah najis burung yang mencemari kawasan niaga.
Masalah itu bukan sahaja menimbulkan rasa jijik dalam kalangan pelanggan, malah menyebabkan jumlah pengunjung semakin berkurangan sejak dua tahun lalu.
Rosimah Abdull, 71, berkata, burung merpati yang bersarang di bumbung premis menyebabkan najis jatuh ke lantai, meja makan dan dinding.
"Pelanggan tak sanggup makan di tempat begini. Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) pernah pasang jaring dan penghalang, tetapi hanya bertahan sekejap. Burung tetap datang,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Razali Wahab, 52, berkata, medan selera itu kini seolah-olah menjadi habitat tetap burung merpati.
"Pagi-pagi sudah penuh najis. Bila cuci, tak lama kemudian ada semula. Kadang-kadang jatuh dalam makanan pelanggan, sangat memalukan,” katanya.
Mohd Aiman Hakimi Shahrom, 25, turut berkongsi pengalaman tidak menyenangkan apabila najis burung terpercik ke atas hidangan pelanggan ketika sedang makan.
"Saya minta maaf dan ganti makanan baharu, tapi saya yakin pelanggan itu takkan datang lagi,” katanya.
Peniaga juga bimbang isu ini menjejaskan kesihatan awam kerana najis burung boleh membawa risiko jangkitan terutama penyakit pernafasan.
Wakil peniaga, Mejar (B) Fauzi Mohd Hassan berkata, ada yang memasang kanvas sebagai pelindung, namun itu hanya penyelesaian sementara.
Katanya, pembersihan dilakukan setiap hari sekitar jam 11 pagi oleh pekerja Environment I-daman, namun tidak mencukupi memandangkan najis burung terus jatuh sepanjang masa.
"Kalau masalah ini selesai, pelanggan pasti akan kembali. Di sini ada pelbagai menu seperti nasi lemak, nasi ayam, mi celup, masakan barat dan roti canai,” katanya.
Fauzi turut mencadangkan kemudahan tambahan seperti lampu sorot dan sepanduk bagi menarik kembali pelanggan ke medan selera berkenaan.
Sementara itu, jurucakap MPSPK memaklumkan beberapa tindakan telah diambil, termasuk pemasangan perangkap burung, ‘bird spike’ dan cucian harian yang diserahkan kepada SWCorp berkuat kuasa Julai 2024.
"Tindakan seterusnya ialah semburan bahan buih sintetik (PU Foam) bagi menutup ruang-ruang laluan burung. Pemantauan akan diteruskan bagi menilai keberkesanan kaedah ini,” katanya.