CAP gesa larangan botol air plastik di premis kerajaan demi alam sekitar

Iklan
CAP menggesa supaya air botol plastik dihapuskan secara beransur-ansur di Malaysia dan digantikan dengan penyediaan lebih banyak stesen isi semula air minuman di tempat awam, mesyuarat dan persidangan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohideen)

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan dan pihak berkuasa tempatan agar mengharamkan penggunaan air botol plastik di semua premis milik kerajaan termasuk sekolah, kolej dan universiti.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, penggunaan air botol yang semakin berleluasa di negara ini sebenarnya lebih banyak membawa kemudaratan berbanding kebaikan, termasuk dari segi kesihatan dan alam sekitar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rakyat Malaysia kini mengambil purata 150 liter air botol setiap tahun, didorong oleh faktor kemudahan, pertimbangan kesihatan serta kurang keyakinan terhadap kualiti air paip.

"Air botol plastik tidak semestinya selamat, tulen atau sihat. Kajian menunjukkan air botol mengandungi lebih banyak mikroplastik berbanding air paip.

Iklan

"Bahan kimia dan pemplastik dalam botol plastik juga boleh menyebabkan gangguan hormon,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, satu kajian yang diterbitkan dalam Environment Pollution (Jilid 315, 2022) mendapati mikroplastik ditemui dalam lapan jenama air botol yang dijual di pasar raya dan kedai runcit utama di negara ini.

Iklan

"Terdapat beberapa kes penarikan semula air botol yang tercemar dengan bakteria, arsenik, kulat, cebisan kaca, yis dan alga termasuk kejadian pada Disember 2020 apabila pihak berkuasa Singapura menarik balik air botol dari Malaysia kerana mengandungi bakteria Pseudomonas aeruginosa,” katanya.

Mohideen menambah, air botol bukan sahaja menyumbang kepada pencemaran plastik, malah mengancam kesihatan pengguna.

"Botol air plastik diperbuat daripada polietilena tereftalat (PET) yang boleh melarut resap bahan kimia apabila terdedah kepada suhu tinggi, seperti ketika pengangkutan atau penyimpanan di gudang.

"Industri air botol juga memberi impak besar terhadap alam sekitar apabila lebih 1.5 juta tong minyak mentah digunakan setiap tahun untuk menghasilkan plastik bagi botol air.

"Di seluruh dunia, sebanyak 2.7 juta tan plastik digunakan setiap tahun bagi mengeluarkan botol air, dan lebih 90 peratus kosnya bukan kepada air, tetapi kepada label, penutup dan botol itu sendiri,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, botol plastik yang dibuang mengambil masa sehingga 1,000 tahun untuk terurai dan kini lebih lima trilion keping plastik telah mencemarkan lautan dunia.

"Kami menggesa supaya air botol plastik dihapuskan secara beransur-ansur di Malaysia dan digantikan dengan penyediaan lebih banyak stesen isi semula air minuman di tempat awam, mesyuarat dan persidangan.

"Selain itu, kerajaan juga digesa meningkatkan mutu air paip agar rakyat yakin untuk meminumnya. Sementara itu, pengguna disaran melabur dalam botol guna semula yang berkualiti seperti kaca atau keluli tahan karat.

"CAP juga mencadangkan agar perjanjian plastik global memberi fokus kepada pengurangan dan penghapusan botol plastik sekali guna demi masa depan planet yang lebih lestari,” katanya.