RAUB – Lima lelaki termasuk empat warga asing ditahan kerana disyaki menceroboh kawasan Hutan Simpan Batu Talam, Mukim Tras, Raub pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung aktiviti pencerobohan hutan simpan itu kira-kira jam 5 petang.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan Balai Polis Tranum ke lokasi.
"Setibanya di kawasan hutan simpan tersebut, anggota terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki tempatan dan motosikal ditunggang lelaki warganegara Indonesia.
"Pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar menemui sebuah rumah kongsi didiami tiga lelaki warganegara Indonesia.
"Tangkapan telah dilakukan ke atas kelima-lima lelaki tersebut,” katanya.
Mohd Shahril berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya menghubungi Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub untuk tindakan serta siasatan lanjut.
"Pasukan daripada PHD Raub yang tiba di lokasi mengesahkan kesemua tangkapan tersebut dilakukan dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam.
"Semua suspek dibawa ke IPD Raub untuk tindakan selanjutnya oleh PHD Raub di bawah Seksyen 88(1) Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa memandang serius kegiatan pencerobohan hutan simpan dan akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada lagi kejadian seumpama itu berlaku pada masa akan datang.
Menurutnya, sebarang maklumat boleh terus disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-355 2222.