Zionis sedang bina 'penjara terbuka'

Iklan
Penduduk Palestin yang meninggalkan Rafah tiba di Khan Yunis selepas IDF mengeluarkan arahan pemindahan paksa baharu pada awal bulan lalu. Foto AFP

KHAN YUNIS - Tentera Zionis sedang melaksanakan satu lagi rancangan jahat dengan meratakan sisa runtuhan di bandar Rafah, selatan Genting Gaza.

Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kebimbangan kepada penduduk Palestin kerana ia dikhuatiri sebahagian daripada pelan keji untuk mengurung mereka di 'penjara terbuka' di tanah tandus.

Iklan
Iklan

Sejak hampir dua bulan, tiada makanan dan bekalan asas penting lain dapat dihantar kepada kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza setelah Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengenakan sekatan selepas gencatan senjata selama enam minggu berakhir.

Kempen pengeboman terus diperhebatkan ke atas Genting Gaza ketika proses damai sedang berlangsung. Foto AFP

Iklan

Askar Zionis kemudiannya melancarkan semula kempen pencerobohan ganas pada pertengahan Mac dan merampas lebih banyak bahagian di enklaf tersebut kononnya untuk menubuhkan 'zon penampan' termasuk seluruh Rafah yang meliputi kira-kira 20 peratus daripada kawasan di Gaza.

Pada akhir minggu lalu, stesen penyiar Tel Aviv mengumumkan IDF merancang penubuhan 'zon kemanusiaan' di Rafah di mana orang awam akan dipindahkan selepas menjalani pemeriksaan keselamatan kononnya bagi 'mengasingkan' mereka dengan pejuang Hamas.

Iklan

Sejak beberapa hari lalu, penduduk Palestin mendakwa letupan besar kedengaran di zon maut di Rafah yang sebelum ini pernah berpopulasi seramai 300,000 orang.

"Ia tidak pernah reda tanpa mengira waktu siang atau malam. Kami tahu Zionis sedang membinasakan Rafah dan cuba melenyapkan bandar itu," kata Tamer dari Bandar Gaza yang kini berlindung di Deir al-Balah di utara wilayah itu.

Dapur kecemasan dikendalikan WFP mengagihkan makanan kepada penduduk Palestin. Foto AFP

Abu Mohammed yang senasib dengan Tamer juga takut jika dipaksa berpindah ke Rafah.

"Ia pastinya akan menjadi seperti kurungan kem tahanan yang terasing dari dunia luar," ujarnya.

Makan rumpai liar

Sejak beberapa minggu lalu, agensi bantuan antarabangsa berulang kali memberi amaran tentang malapetaka kemanusiaan lebih dahsyat bakal melanda Gaza akibat krisis kebuluran dan penularan penyakit.

Usaha rundingan damai yang diusahakan Qatar dan Mesir masih gagal untuk melanjutkan tempoh bertenang di wilayah tersebut.

Kebanyakan keluarga berlindung di bawah khemah sementara di tapak runtuhan rumah masing-masing yang musnah dibedil. Foto AFP

Di Doha, wakil proses damai mengesahkan usaha untuk mencapai perjanjian gencatan senjata baharu di Gaza menunjukkan beberapa kemajuan ketara.

Pada Jumaat lalu, Program Makanan Sedunia (WFP) memaklumkan bekalan makanan di Gaza semakin kehabisan selepas ia berdepan sekatan ketat paling lama sejak perang genosid itu tercetus pada 7 Oktober 2023.

Beberapa penduduk Palestin yang kelaparan terpaksa mencari rumpai liar dan memetik daun untuk dijadikan makanan.

Rumpai liar turut dijadikan sumber makanan penduduk Palestin yang kelaparan. Foto Agensi

Kumpulan nelayan juga beralih kepada menangkap penyu sebagai sumber makanan dan punca pendapatan mereka.

"Kami amat terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mengisi perut anak-anak kami. Tiada lagi makanan dan hidup kami semakin sengsara," kata seorang wanita Palestin yang enggan identitinya didedahkan. - Agensi