SHAH ALAM – Kutipan dana berjumlah RM45,000 yang diperlukan untuk kos pembedahan seorang kanak-kanak pesakit jantung, Muhamad Harris Rayyan Mohd Khusaimi, 7, telah mencukupi menerusi kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil yang dilancarkan 26 Mac lalu.
Tabung pertama kempen tersebut sepatutnya dibuka selama tempoh 41 hari sehingga 4 Mei ini namun ditutup lebih awal pada 30 April apabila berjaya memperoleh sebanyak RM21,565.23 hasil sumbangan orang ramai secara terus ke akaun bank Sinar Harian.
Sementara bakinya disalurkan oleh sebuah yayasan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN).
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, khabar gembira itu membolehkan kanak-kanak berkenaan dapat menjalani pembedahan Ventricular Septal Defect Closure and Resection of Infundibular Stenosis seperti yang dijadualkan pada 10 Mei ini di IJN.
"Sinar Harian mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dan menyokong kempen ini. Setiap sumbangan yang diterima sangat bermakna kepada pesakit dan keluarganya.
"Semoga pembedahan tersebut berjalan lancar dan adik Harris Rayyan dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan ceria selepas ini,” katanya pada Selasa,
Zambri menjelaskan, Sinar Harian mengambil inisiatif melancarkan kempen tersebut dengan kerjasama IJN bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa kepada pesakit jantung melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Menurut beliau, nama pesakit diberikan sendiri oleh pihak IJN dari keluarga kurang berkemampuan dan setiap sumbangan terkumpul akan diserahkan sepenuhnya kepada IJN supaya pembedahan segera dapat dilakukan.
"Sebenarnya, adik Harris Rayyan bukan kanak-kanak pertama yang kami ingin bantu menerusi kempen ini kerana sebelum dia, ada seorang lagi nama pesakit yang diberikan oleh IJN.
"Tetapi Alhamdulillah, ketika hari wartawan kami mahu pergi ke Seremban untuk sesi temu bual, ibu bapa pesakit itu menerima khabar gembira apabila Baitumal Negeri Sembilan memberitahu permohonan untuk kos pembedahan anak mereka telah diluluskan,” katanya.
Ujar Zamri, selain sumbangan dari segi kewangan, kempen itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit jantung kongenital termasuk pesakit kanak-kanak.
Akhbar ini pada 27 Mac lalu menyiarkan kisah adik Harris Rayyan yang menghidap masalah jantung berlubang sejak dilahirkan dan kini anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu sering mengadu letih dan cepat penat.