MERAK Jalanan teringat, zaman dahulu kalau bergaduh suami isteri atau putus cinta, masalah itu disimpan rapi. Paling kuat pun mengadu kepada teman rapat.
Tapi sekarang lain jadinya. Media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok menjadi medan curahan perasaan tanpa batasan, seolah-olah seluruh dunia perlu tahu setiap luka di dalam hati.
Baru-baru ini, seorang selebriti wanita tampil mencurahkan perasaan tidak senangnya dengan menantu sulung.
Maklumlah, bukan mudah seorang ibu nak terima hakikat anak perempuannya berkahwin nun di negara jiran, jadi isteri kedua pula. Emosinya melarat sehingga bekas suami pun terkena tempias. Habis dilondeh kisah buruknya.
Kemudian, muncul pula kisah pempengaruh media sosial yang masih berperang dengan bekas suami susulan kehadiran orang ketiga. Satu persatu kemelut timbul hingga jadi perdebatan netizen.
Bagi Merak Jalanan, alangkah baiknya jika pasangan berkenaan berhenti saling meroyan di media sosial. Ia bukan platform sesuai untuk meluahkan masalah rumah tangga kerana hanya mengundang masyarakat jadi ‘hakim tak bertauliah’, seterusnya menambah dosa.
Bukan sahaja mencemarkan maruah pasangan atau bekas pasangan, malah anak-anak dan ahli keluarga turut terpalit sama sehingga bawa kesan psikologi seperti tekanan dan kemurungan.
Merak Jalanan suka ‘keterbukaan’ tetapi harus ada adabnya. Bukan semua perkara perlu dikongsi. Ada yang berkongsi mungkin kerana mencari simpati tetapi akhirnya membuka aib sendiri dan menanggung malu sepanjang hayat. Media sosial bukan mahkamah, bukan tempat mencari keadilan emosi.
Netizen pula cepat menghukum tanpa tahu cerita sebenar. Ada yang menyokong membuta tuli, ada mengutuk tanpa belas, akhirnya siapa rugi? Bukan orang luar tapi diri sendiri.
Merak Jalanan ingin berpesan, kalau benar ada masalah besar, gunakan saluran yang betul. Jangan kerana marah sesaat, menyesal seumur hidup.