Permudah poligami: Suami jangan ambil kesempatan

Iklan
Poligami bukan mengenai keinginan atau ‘kelayakan’ semata-mata tetapi ia menuntut keadilan dalam tindakan dan emosi. Gambar hiasan

PEMBAHARUAN prosedur berpoligami di Melaka dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam memudahkan urusan nikah bagi umat Islam.

Memendekkan tempoh kelulusan permohonan poligami kepada 21 hari jika semua syarat dipenuhi seperti diumumkan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman boleh dianggap progresif dan efisien dari sudut pentadbiran.

Iklan
Iklan

Pembaharuan dengan kerjasama Mahkamah Syariah Melaka itu dapat mengurangkan tempoh kelulusan yang sebelum ini mengambil masa berbulan-bulan. Ia diharap dapat membendung amalan nikah di sempadan yang sering berlaku secara tidak sah dan tidak berdaftar, selain dapat melindungi hak wanita serta memastikan setiap pernikahan diiktiraf undang-undang.

Namun, berbicara mengenai poligami, bukan semua orang boleh kekal tenang. Ia isu sensitif bagi kebanyakan wanita, sebaliknya kerap menjadi gurauan dalam kalangan lelaki.

Iklan

Di sebalik pemudah cara itu, tidak kurang juga yang gusar kerana bimbang ‘kemudahan’ diberikan disalah guna mereka yang melihat poligami dari sudut ‘keinginan’, bukan satu amanah besar wajar digalas dengan penuh tanggungjawab.

Poligami dalam Islam dibenarkan atas keperluan tertentu dan syarat-syarat tertentu juga, antaranya dari segi keadilan, kemampuan zahir dan batin serta kematangan emosi.

Iklan

Justeru, ia bukan ruang untuk mencuba-cuba atau membuktikan kelelakian. Ia adalah tanggungjawab besar, amanah berat yang akan ditanya di hadapan ALLAH SWT.

Asasnya, syariat menghalalkan poligami untuk memberi ruang kepada mereka memerlukan, khususnya kes isteri uzur, mendapatkan zuriat dan membela nasib ibu tunggal atau anak yatim.

Dalam konteks itu, ia adalah satu bentuk keadilan sosial tetapi apabila syariat itu digunakan tanpa keinsafan terhadap tanggungjawab, maka mudaratnya jauh lebih besar.

Justeru, janganlah pula disalahgunakan keistimewaan yang telah diberikan. Ini kerana terdapat kes poligami yang meninggalkan kesan trauma dan parut luka mendalam kepada pasangan, anak-anak dan orang di sekelilingnya.

Poligami bukan mengenai keinginan atau ‘kelayakan’ semata-mata tetapi ia menuntut keadilan dalam tindakan dan emosi. Ia bukan ‘ruang selamat’ apabila gagal mengurus ramai isteri.

Jadi, ingatlah jika mahu berpoligami pastikan cukup ilmu, berkemampuan dan boleh berlaku adil. Kalau setakat bercakap seperti ‘tin kosong’, ansuran kereta dan rumah masih mengharap duit isteri pertama, maka lebih baik hasrat mahu berpoligami dikaji semula kerana dalam dunia sebenar, keadilan tidak sekadar slogan – ia adalah tindakan.