SEGAMAT – Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada waris pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) di Felda Chemplak, Labis pada Selasa.
Manarina Hasya Muhamad Karim, 22 yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Dengan Kepujian maut dalam nahas melibatkan dua buah bas di hadapan perhentian bas Jalan Persiaran Perdana, UUM pada 19 April lalu.
Pada program Ziarah PTPTN Prihatin itu, agensi berkenaan menyerahkan surat pengesahan penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman Allahyarham berjumlah RM12,629.82 serta khairat kematian sebanyak RM1,500 melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN.
Keluarga Allahyarham turut menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berupa wang tunai RM2,000 serta kotak makanan yang disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar yang mewakili Pengerusi dan Pengurusan PTPTN.
Turut hadir, Pengurus Cawangan Pejabat PTPTN Johor, Rafidah Sidek. Sementara itu Wan Zawiah berkata, keprihatinan PTPTN itu diharap dapat membantu meringankan beban keluarga Allahyarham dalam menghadapi saat sukar.
"Tragedi yang berlaku kepada anak sulung daripada empat beradik telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
"Kami di PTPTN ingin menyampaikan rasa simpati dan berharap sumbangan ini memberikan sedikit kelegaan dan sokongan kepada mereka,” katanya.
Tambahnya, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited melaksanakan program CSR dan menjaga kebajikan peminjamnya.
"Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN dengan perlindungan takaful berkelompok bertujuan melindungi jumlah pinjaman dikeluarkan PTPTN kepada peminjam berkuatkuasa sepanjang masa, tidak kira lokasi sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh.
"Di bawah konsep perlindungan takaful berkelompok ini, amaun pinjaman yang dikeluarkan kepada semua peminjam akan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada syarikat pengendali takaful yang dilantik PTPTN,” katanya.
Sementara itu, bapa Allahyarham, Mohamad Karim Sulaiman, 51, melahirkan rasa syukur atas keprihatinan dan sumbangan diberikan.
"Saya tidak menyangka PTPTN menyediakan perlindungan takaful seperti ini."Alhamdulillah, PTPTN memudahkan urusan kami sekeluarga malah datang ke rumah bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan,” katanya.
Sementara itu, peminjam yang telah meninggal dunia atau mengalami keilatan, waris atau penuntut perlu membuat tuntutan dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh diperolehi melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my