Had laju di kawasan sekolah diturunkan kepada 30km/j – Anthony

Iklan
Anthony pada sidang media selepas melancarkan Program 'My Safe Road' di Seremban pada Selasa.

SEREMBAN – Kadar had laju maksimum di kawasan sekolah akan diturunkan daripada 50 kilometer sejam (km/j) kepada 30 km/j bagi meningkatkan keselamatan, khususnya melibatkan kanak-kanak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan dasar tersebut telah dibuat melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) dan akan digazetkan dalam tempoh terdekat.

Iklan
Iklan

"Dalam JKMKKJR, kita telah membuat keputusan dasar untuk menurunkan had kelajuan di semua kawasan zon sekolah daripada 50 km/j kepada 30 km/j.

"Ia berdasarkan data saintifik yang menunjukkan penurunan had kelajuan kepada 30 km/j dapat mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan dengan ketara.

Iklan

"Secara purata, sebanyak 70 kes kemalangan maut direkodkan di kawasan sekolah setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program 'My Safe Road' di sebuah hotel di sini, pada Selasa.

Beliau menambah, langkah pengurangan had kelajuan itu merupakan piawaian antarabangsa dan bukan perkara baharu.

Iklan

Sehubungan itu, beliau berharap tiada pihak yang mempertikaikan usaha tersebut.

"Tindakan penggazetan had kelajuan ini juga memerlukan kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ia bergantung kepada lokasi sekolah. Jika terletak di Jalan Persekutuan, maka JKR bertanggungjawab. Sekiranya berada di Jalan Perbandaran atau kawasan perumahan, ia perlu digazetkan oleh PBT," jelas beliau.

Anthony, yang juga Ahli Parlimen Seremban, menekankan bahawa kawasan sekolah merupakan zon kritikal yang perlu diberi perhatian untuk memastikan keselamatan orang ramai, khususnya pelajar.

Namun begitu, katanya, langkah-langkah keselamatan tambahan seperti garisan kuning, papan tanda amaran dan pengawal lalu lintas juga perlu dilaksanakan.

"Semua ini memerlukan tindakan susulan, sebab itu MKJR akan melaksanakan program ini di sekolah-sekolah terpilih tahun ini supaya dapat memberi impak positif kepada para pelajar," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan melalui MKJR akan melaksanakan Program Fellowship Kepimpinan Keselamatan Jalan Raya pada tahun ini untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang boleh menerajui inisiatif keselamatan jalan raya berasaskan sistem selamat.

Katanya, perbincangan telah diadakan bersama beberapa universiti tempatan untuk melaksanakan program jangka pendek yang merangkumi pendedahan teori dan latihan praktikal berhubung isu keselamatan jalan raya.

"Kita sedar program advokasi keselamatan jalan raya di negara ini masih tidak mencukupi. Oleh itu, kita perlukan program kepimpinan keselamatan jalan raya khususnya di institusi pengajian tinggi awam," katanya.