MADINAH – Hasrat seorang warga emas untuk menunaikan ibadah haji akhirnya tercapai selepas 15 tahun mengumpul wang hasil menjual kuih dan bertani.
Supiah Hussin, 70, berkata, niat untuk ke Tanah Suci telah disimpan bertahun-tahun sebelum menerima perkhabaran gembira mendapat tawaran daripada pihak Tabung Haji.
"Meleleh air mata sebaik sahaja sampai di sini (Tanah Suci). Saya simpan duit RM10 ke RM20 sehari untuk ke Makkah. Buat bendang (bertani) juga sikit-sikit.
"Rasa seronok sangat, nak datang sini (Tanah Suci) lama dah (tapi) tak dapat. Dapat-dapat tu berkerusi pun tak apalah nak pergi juga,” katanya yang merupakan antara jemaah haji kumpulan pertama tiba menaiki penerbangan dari Malaysia di sini pada Selasa.
Beliau yang menghidap sakit tulang belakang ke Tanah Suci bersama suaminya.
"Sebelum ini tak pernah sampai lagi ke sini. Sebelum dapat tawaran, tidur tak lena asyik teringat-ingat nak ke sini.
"Alhamdulillah seronok, kawan-kawan minta sampaikan salam kepada Rasulullah,” katanya.
Seorang lagi jemaah, Azizah Rasol, 69, memanjatkan kesyukuran kerana dipanggil untuk mengerjakan haji tahun ini.
Pesara guru itu berkata, beliau berazam menunaikan ibadah sebagai hamba yang tawaduk dan mentaati perintah ALLAH.
"Saya ucapkan terima kasih kepada keluarga, pembimbing haji di tanah air dan di Tanah Suci serta guru yang mengajar saya al-Quran,” katanya.
Seramai 284 jemaah haji yang menaiki penerbangan pertama (KT1) dari Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di sini pada Selasa.
Mereka yang terdiri daripada 112 jemaah lelaki dan 141 wanita dan 31 petugas haji itu tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH8050 pada 8.04 pagi waktu tempatan sebelum dibawa dengan menaiki bas ke zon penginapan mereka di Hotel Emaar Royal.