683 kenderaan disita sepanjang Op HRA

Iklan
Aedy Fadly (tiga dari kiri) beramah mesra dengan petugas media yang menerima sijil penghargaan pada Majlis Apresiasi Op HRA 2025 di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya pada Selasa.

PUTRAJAYA - Sebanyak 683 kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hasil pemeriksaan 323,876 kenderaan sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) lalu di seluruh negara.

Operasi bermula 24 Mac hingga 8 April itu bertujuan memastikan tahap keselamatan jalan raya, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya semasa musim perayaan.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah keseluruhan pemeriksaan kenderaan, 33,452 kenderaan telah dikenakan tindakan.

Katanya, JPJ juga telah mengeluarkan 58,596 notis atas pelbagai kesalahan termasuklah saman serta arah periksa.

Iklan

Sepanjang Op HRA itu juga, beliau berkata, sebanyak 6,687 aduan diterima melalui aplikasi MyJPJ yang berkaitan kesalahan lalu lintas.

"Data turut menunjukkan terdapat tiga kesalahan utama iaitu memotong barisan (1,766), memandu di lorong kecemasan (1,625) dan gagal mematuhi lampu isyarat merah (843)," katanya ketika berucap di Majlis Apresiasi Sempena Op HRA 2025 di Kementerian Pengangkutan di sini pada Selasa.

Iklan

Dalam majlis itu, seramai sembilan petugas media daripada pelbagai agensi antara yang menerima sijil penghargaan di atas pelaporan Op HRA.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi serta Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan.

Mengulas lanjut, kata Aedy Fadly, anggota JPJ serta rakan strategik telah menjalankan tugas yang terbaik biarpun terdapat pelbagai cabaran di lapangan seperti tonto.

"Di peringkat JPJ, penguatkuasaan yang melibatkan kenderaan berat akan lebih tegas terutamanya kesalahan-kesalahan lebih muatan.

"Pihak JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan atau pemandu yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Ini kerana bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JPJ akan memantau penguatkuasaan melibatkan lebih muatan secara berkala melalui JPJ negeri," ujarnya.