IPOH - Dari sebuah bandar warisan kepada tumpuan generasi muda, Ipoh kini dilihat sebagai ‘bandar hipster’ yang berkembang pesat dan menawarkan peluang luas kepada anak muda dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan.
Persekitaran yang semakin rancak dengan pertumbuhan premis bergaya moden, kafe artisan dan industri kreatif membuka laluan kepada usahawan muda seperti Muhammad Irsyaduddin Nordin, 27, untuk mengembangkan perniagaan dandanan rambut yang diasaskannya sejak 2020.
Memulakan perniagaan di Kampung Ulu Chepor, kedai gunting rambut miliknya kini dikenali sebagai Craftt Barbershop telah berkembang dengan pembukaan cawangan kedua di Taman Meru Perdana, Disember lalu.
"Bandaraya Ipoh, terutamanya di bandar Meru Raya akan terus membangun. Permintaan semakin meningkat, jadi ini peluang terbaik untuk saya mengembangkan perniagaan.
"Peluang ini harus digunakan oleh anak Perak untuk bekerja di sini tanpa perlu lagi keluar ke negeri lain,” katanya yang memulakan Craftt Barbershop dengan modal sendiri hasil simpanan ketika bekerja sebagai tukang gunting.
Muhammad Irsyaduddin berani mengambil risiko meskipun sedar bidang itu menuntut pengorbanan besar dari segi masa dan tenaga.
Craftt Barbershop bukan sekadar perniagaan, malah menjadi platform pembangunan tenaga kerja mahir dalam kalangan anak muda tempatan.
Beliau turut menyahut seruan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad agar anak muda negeri ini kekal bekerja di Perak sekali gus membantu membangunkan negeri.
Jelasnya, Perak mempunyai ramai anak muda berbakat yang mampu berjaya dalam pelbagai bidang jika diberikan ruang dan peluang di Perak.
Kini, tiga orang pekerja tetap berusia antara 20 hingga 35 tahun berkhidmat di dua cawangannya, semuanya dilatih sendiri oleh Muhammad Irsyaduddin.
Antara mereka, Mohamad Iqbar Ros Addelin, 35, rakan baik yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam industri itu yakin sektor dandanan rambut kekal relevan meskipun era teknologi semakin canggih.
"Perkhidmatan ini tak boleh diganti mesin malah tidak boleh dijual di dalam talian. Ia perlukan sentuhan manusia, kreativiti dan pengalaman.
"Bukan itu sahaja, pendapatan dalam bidang ini juga lumayan untuk diceburi oleh anak muda memandangkan kerjaya ini tidak terlalu formal dan fleksibel,”katanya.
Dengan pembangunan seperti Pusat Rehabilitasi PERKESO dan Silver Valley Technology Park (SVTP) di sekitar Meru, ekosistem perniagaan di Ipoh dijangka terus berkembang, menjadikan bandar ini sebagai pusat baharu anak muda menggilap potensi keusahawanan mereka.
Perkembangan Craftt Barbershop seiring dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pembangunan modal insan melalui Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan matlamat melahirkan seorang usahawan dalam setiap keluarga.