Malaysia perkukuh kerjasama dengan Maldives, ASEAN – Anwar

Iklan
Anwar ketika berucap pada Forum Perniagaan Maldives-Malaysia 2025, di sini, hari ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia sedang menggiatkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dalam ASEAN dan juga dengan negara jiran lain seperti Maldives, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun Malaysia mengutamakan hubungan lebih erat dalam kalangan negara anggota ASEAN, namun ia juga perlu meluaskan penglibatannya melangkaui rantau ini ke negara-negara sahabat yang berkongsi aspirasi bersama untuk pembangunan dan kemakmuran.

Iklan
Iklan

"Dalam konteks ini, Maldives merupakan rakan penting. Kami menghargai bukan sahaja hubungan antara rakyat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Maldives tetapi juga melihat potensi yang sangat besar untuk mengembangkan kerjasama kami dalam perdagangan, pelaburan, inovasi digital dan kelestarian alam sekitar," kata Anwar menerusi ucaptama beliau pada Forum Perniagaan Maldives-Malaysia 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu, yang sedang dalam rangka lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia, sejak menjadi Presiden pada November 2023, atas jemputan Anwar.

Iklan

Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Maldives telah lama bersahabat, berkongsi dasar serta sistem politik yang sama dan mempunyai hubungan dua hala yang kukuh.

"Dengan kepimpinan kerajaan sekarang di Maldives, kini terdapat keazaman untuk memajukan negara dengan dasar yang lebih jelas," kata beliau.

Iklan

Terdahulu, Anwar dan Muizzu menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman dan dua perjanjian meliputi pelbagai sektor bagi mengukuhkan kerjasama untuk manfaat bersama.

Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Maldives meningkat sebanyak 4.3 peratus kepada AS$189 juta (RM862.7 juta) daripada AS$180.9 juta (RM827.3 juta) pada 2023, menjadikan negara kepulauan itu rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan. - Bernama