IPOH - Isu penternakan babi yang dimainkan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak berjaya mempengaruhi sentimen majoriti pengundi, termasuk di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Keramat.
Walaupun calon Barisan Nasional (BN) tewas di PDM itu kepada Perikatan Nasional (PN), majoriti kekalahan berjaya dikurangkan berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ketua PDM Tanjung Keramat, Abu Bakar Sharif berkata, faktor kekalahan lebih banyak disumbangkan oleh corak pengundian golongan muda di saluran satu dan dua, yang masih baru dalam arena pilihan raya dan kurang memahami situasi politik semasa.
"PDM ini tewas kerana saluran satu dan dua. Anak-anak muda baru mengundi, tidak tahu situasi keadaan politik sekarang tetapi lebih 90 peratus tetap menyokong Kerajaan Perpaduan dan BN," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menjelaskan, saluran dua dan tiga di kawasan itu turut menyaksikan kadar pengundi luar yang tidak pulang mengundi selain terdapat penyokong BN dan Kerajaan Perpaduan yang tidak keluar menunaikan tanggungjawab.
"Pencapaian kali ini tetap menunjukkan peningkatan apabila majoriti kekalahan berjaya dikurangkan kira-kira 71 undi iaitu daripada 159 undi dalam PRU15 kepada hanya 88 undi pada PRK kali ini," katanya.
Mengulas isu kandang babi yang cuba dibangkitkan pembangkang, Abu Bakar menegaskan bahawa isu tersebut telah berlarutan lebih 35 tahun dan tidak mudah diselesaikan kerana ia melibatkan tanah persendirian serta projek pertanian sah.
"Semasa zaman Datuk Samsudin (bekas ADUN, Datuk Samsudin Abu Hassan) pun pernah diutarakan, tetapi oleh kerana melibatkan tanah persendirian, kita tidak boleh halang mereka. Sistem penternakan mereka juga mematuhi peraturan," katanya.
Tambah beliau, perubahan atau pemindahan penternakan seperti itu hanya dapat dilakukan sekiranya terdapat pembangunan besar seperti pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) atau hospital di kawasan berkenaan, sebagaimana pernah berlaku di Pekan Getah, Tapah Road sebelum ini.
"Kami penduduk pun tidak suka, tetapi kerajaan dah ambil maklum. Isu ini digunakan pembangkang kerana mereka tiada isu lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Cawangan Parti Amanah Negara (Amanah) Kampung Tanjung Keramat, Mohammad Shahrir Sazari berkata, cubaan membangkitkan isu kandang babi jelas dilihat sebagai usaha untuk menyemai sentimen perkauman dan keagamaan.
Namun begitu, katanya, majoriti pengundi kini lebih bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan politik fitnah dan isu sempit.
"Walaupun ada sedikit kegelisahan dalam kalangan sebahagian kecil pengundi, majoriti rakyat menilai calon dan parti berdasarkan prestasi, dasar serta tawaran masa depan," katanya.
Menurut beliau, keputusan PRK DUN Ayer Kuning membuktikan bahawa pengundi semakin matang dan memahami keperluan mendukung kestabilan politik serta pembangunan berterusan.
"Sokongan kepada calon BN bukan sekadar sokongan kepada parti, tetapi kepada prinsip perpaduan, kestabilan dan reformasi yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan," katanya.
Keputusan PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Daripada 20 PDM, BN menguasai undi di 19 PDM dan hanya tewas di satu PDM iaitu Tanjung Keramat.