CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang menaikkan siling dan mengukuhkan lantai ekonomi negara sejajar dengan kerangka Dasar Ekonomi Madani dalam usaha mengatasi ketidakpadanan pekerjaan mahir.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Kee Cheong berkata, langkah itu antaranya dengan memastikan syarikat pelaburan bernilai tinggi masuk ke Malaysia.
"Kita (kerajaan) menyedari bahawa berlaku insiden guna tenaga tidak penuh berasaskan dengan pendidikan iaitu di mana kemahiran serta pendidikan yang diterima tidak sepadan dengan pekerjaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Sedunia Bagi Keselamatan Dan Kesihatan Di Tempat Kerja 2025 di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di sini pada Isnin.
Ujarnya, struktur dan nilai ekonomi negara yang tidak berganjak dalam tempoh 30 tahun ini menyebabkan berlakunya perkara tersebut.
"Untuk mengubah pola yang mana telah berlaku secara mendatar selama 30 tahun, ia tidak boleh berlaku hanya dalam satu malam," jelas Steven.
Menurut beliau, negara perlukan ekonomi yang bernilai lebih tinggi bagi mewujudkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan bernilai tinggi.
"Setiap tahun kita ada lebih kurang 300,000 graduan universiti dengan satu pertiga daripada mereka merupakan dari yang dalam sektor sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) manakala 100,000 lagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET ).
"Jadi, dalam keadaan ini ekonomi kita mengikut pola 30 tahun. Ini bukan perkara baharu," katanya.
Menyentuh mengenai pengangguran, Steven berkata, kadar terbaharu pada Februari menunjukkan kurang daripada 3.1 peratus malah ia lebih rendah daripada sebelum pandemik Covid-19.
"Dalam keadaan ini kita juga nampak ada penambahbaikan contoh pada suku tahun keempat tahun 2023 kadarnya adalah lebih kurang 37 peratus.
"Jadi pada suku keempat pada tahun 2024 tahun lalu berlaku penurunan iaitu lebih kurang 36 peratus," kata beliau.
Tambahnya, kerajaan memperuntukkan sekitar RM7 bilion setiap tahun untuk pendidikan TVET manakala di Kesuma pula, RM3 bilion dikembangkan bagi menambah baik aspek kemahiran pada tahun ini.
Terdahulu, Pakar Ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid berkata walaupun kadar pengangguran kelihatan rendah, isu kadar guna tenaga tidak penuh amat membimbangkan.
Dakwanya, pada suku ketiga 2024, seramai 37 peratus graduan pendidikan tinggi, sekitar 1.95 juta individu adalah guna tenaga tidak penuh, meningkat 1.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ia mencerminkan kekurangan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi apabila hanya 17 peratus daripada pekerjaan baharu adalah pekerjaan mahir, jauh lebih rendah untuk menampung 287,000 graduan setiap tahun.