PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Peguam Negara (AG) berjaya mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin, terhadap keputusan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memulakan prosiding semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum.
Perkara itu diputuskan panel tiga hakim, dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Susulan itu, AG dibenarkan untuk merayu, dengan mahkamah bakal mendengar persoalan undang-undang yang akan dihujahkan pada 1 dan 2 Julai depan.
Semasa membaca keputusan sebulat suara, Hakim, Hasnah berkata, mahkamah mendapati persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh AG selaku pemohon merupakan isu baharu yang belum pernah didengar dan ia menyentuh isu kepentingan awam.
Menurutnya, persoalan itu termasuk dalam kepentingan awam dan boleh memberi panduan kepada mahkamah mengenai pendekatan yang betul untuk diguna pakai apabila berurusan dengan penerimaan atau penambahan bukti.
"Selepas membaca dengan teliti hujahan dan segala nas serta prinsip undang-undang, kami sebulat suara mendapati permohonan AG berjaya melepasi peruntukan yang ditetapkan.
"Kami mendapati isu yang ditimbulkan adalah sesuatu yang baharu dan sesuatu yang menyentuh kepentingan awam serta perlu didengar dan diputuskan oleh mahkamah,” katanya sambil menambah bahawa mahkamah tidak memerintahkan sebarang kos.
Beliau berkata, mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan pembelaan Najib selaku responden bahawa pemohon tidak akan diprejudiskan kerana tidak dihalang daripada mengemukakan pendapat mengenai penerimaan bukti tambahan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
Menurutnya, dengan membenarkan bukti baharu di peringkat Mahkamah Rayuan, pemohon tidak lagi boleh berhujah mengenai penerimaan bukti di Mahkamah Tinggi.
Katanya, memandangkan Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan untuk menerima bukti, pemohon dalam konteks itu pasti akan diprejudiskan.
Oleh itu, beliau berkata, mahkamah menetapkan tarikh singkat untuk pendengaran rayuan di mahkamah berkenaan tiga bulan dari sekarang.
Pada 24 Mac lalu, AG, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mengemukakan hujahan mendapatkan kebenaran rayuan, bagi menghentikan usaha Najib untuk memperoleh semakan kehakiman berhubung Titah Adendum.
Beliau memohon perkara itu selepas Mahkamah Rayuan di sini mengembalikan kes Najib, 72, mengenai dakwaan kewujudan dokumen tambahan yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun, di rumah.
Bagaimanapun peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang hadir bagi pihak bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghujahkan bahawa, permohonan kebenaran merayu wajar ditolak kerana persoalan undang-undang yang dikemukakan kini akademik kerana Mahkamah Rayuan sudah memutuskan wujudnya Titah Adendum terbabit.
Beliau berkata, Najib bukan mencabar keputusan Lembaga Pengampunan kerana tahanan rumah bukan diputuskan oleh lembaga berkenaan, sebaliknya titah Yang di-Pertuan Agong.
Pada 6 Januari lalu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Rayuan bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi menentang rayuan Najib sementara Hakim-hakim, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan dengan keputusan majoriti 2-1.
Sebelum ini, bekas Presiden UMNO itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Agong ke-16.
Najib yang juga bekas Menteri Kewangan itu mendakwa Titah Adendum akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan di kediamannya.
Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah terbabit.
Hakim memutuskan demikian selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia bersifat khabar angin.
Sebelum ini, Najib meminta perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Pada 23 Ogos 2022, Najib dihukum meringkuk di Penjara Kajang selama 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bagaimanapun, pada 2 Februari 2024 lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta, menyaksikan Najib akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.