KUALA LUMPUR - Warisan bukan sekadar peninggalan sejarah, sebaliknya menjadi cerminan identiti, jati diri dan ketamadunan bangsa yang membentuk masyarakat serta perlu dipelihara demi kelestarian masa hadapan.
Mengangkat tema Warisan Kita: Akar Identiti, Kelestarian Masa Hadapan, Konvensyen Warisan Kebangsaan 2026 menjadi wadah penting untuk memperkukuh kefahaman, memperluas perkongsian ilmu serta meningkatkan kerjasama pelbagai pihak dalam memelihara dan melestarikan khazanah warisan negara.
Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin berkata, konvensyen itu menghimpunkan pakar dan pengamal warisan bagi membincangkan pelbagai aspek pemeliharaan khazanah negara, termasuk perundangan, arkeologi, konservasi dan seni bina.
Menurutnya, pembentangan yang mengetengahkan perspektif kebangsaan dan antarabangsa memberi peluang kepada peserta mendalami pendekatan, cabaran serta amalan terbaik bagi memastikan warisan negara terus terpelihara.
“Perkongsian ilmu itu turut diteruskan pada hari berikutnya menerusi beberapa sesi pembentangan berkaitan pelbagai topik warisan bagi memperkayakan pengetahuan dan pengalaman peserta,” katanya.
Mengulas fokus utama konvensyen, Mohamad Muda berkata, penekanan diberikan kepada aspek perundangan, khususnya Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), termasuk peranan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkepentingan lain dalam memastikan warisan negara terus dipelihara.
Katanya, warisan merupakan perkara di bawah Senarai Bersama Persekutuan dan Negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menuntut kerjasama erat semua pihak dalam melaksanakan tanggungjawab pemeliharaan dan pemuliharaan warisan.
“Dalam melaksanakan usaha pemuliharaan warisan, kita perlu melibatkan pihak berkepentingan bagi memastikan kelestarian warisan negara, sama ada di peringkat Persekutuan, Wilayah Persekutuan mahupun negeri-negeri,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran konvensyen itu turut memberi peluang kepada masyarakat memahami pelaksanaan Akta Warisan Kebangsaan 2005, termasuk peruntukan undang-undang serta enakmen berkaitan yang berkuat kuasa di peringkat negeri.
Pendedahan itu penting bagi meningkatkan kesedaran mengenai skop akta berkenaan, termasuk aspek perlindungan warisan, tanggungjawab pihak berkaitan, fungsi institusi serta peranan Majlis Warisan Kebangsaan.
Mohamad Muda turut menegaskan bahawa tanggungjawab memelihara dan melestarikan warisan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu Jabatan Warisan Negara, sebaliknya memerlukan komitmen kerajaan negeri, pemilik warisan dan masyarakat secara keseluruhan.
Ini kerana warisan yang merangkumi tapak bersejarah, bangunan lama, tinggalan arkeologi, seni bina, adat resam serta pelbagai khazanah budaya merupakan sebahagian daripada identiti dan jati diri bangsa yang perlu dipertahankan agar tidak hilang ditelan zaman.
Konvensyen itu turut menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk pengamal warisan, wakil pihak berkuasa negeri dan tempatan, ahli akademik, pensyarah, konservator, arkitek serta pegawai jabatan dan agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.
Kepelbagaian penyertaan itu membuka ruang kepada pertukaran pandangan, kepakaran dan pengalaman, sekali gus memperkukuh pendekatan bersama dalam menangani cabaran pemeliharaan warisan negara.
Mengulas harapan terhadap penganjuran program itu, Mohamad Muda berkata, Jabatan Warisan Negara di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berharap perkongsian ilmu menerusi seminar antarabangsa dan Konvensyen Warisan Kebangsaan 2026 dapat memberikan manfaat kepada semua peserta.
Beliau berharap ilmu dan pengalaman yang dikongsikan sepanjang program itu dapat diterjemahkan kepada tindakan serta amalan lebih berkesan dalam usaha memelihara dan melestarikan khazanah warisan negara.
Menurutnya, usaha itu memerlukan komitmen berterusan semua pihak agar nilai sejarah, kebudayaan dan keunikan warisan negara terus dihargai serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Sebagai kemuncak rangkaian program berkenaan, Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan Kali Keenam dijadualkan berlangsung pada 5 November 2026, selepas beberapa tahun tidak diadakan susulan pandemik COVID-19.
Majlis itu menjadi antara usaha penting untuk memberikan pengiktirafan kepada warisan negara yang telah dipersetujui oleh menteri berkaitan, sekali gus memperkukuh komitmen negara dalam melindungi dan memelihara khazanah sejarah, seni bina serta kebudayaan sebagai warisan tidak ternilai untuk generasi masa hadapan.